Terus Kukuhkan Perpaduan Sedia Ada
KUCHING - Umat Islam perlu terus kukuhkan perpaduan yang telah terjalin sekian lama dan menjadi contoh kepada masyarakat lain agar terus dihormati.
Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, umat Islam terkenal dengan sikap tolak ansurnya dan ini membolehkan masyarakat lain menghormati kita pada hari ini.
"Kita (umat Islam) perlu sentiasa bersedia, bersatu hati dan bekerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran sama ada dari dalam atau dari luar.
"Untuk itu, kita haruslah mengelak perpecahan antara satu sama lain kerana perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam itu sendiri. Malah, ia boleh merugikan umat Islam dalam tempoh jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa dan Sembahyang Berjemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih di Masjid An Nur Kampung Tebelu, Sebuyau.
Hadir sama isteri Datin Sadiah Buji, Residen Samarahan Berahim Lumpu, wakil Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Samarahan Ustaz Bahrin, wakil TBS Ustaz Massanal dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Kecil Sebuyau Ajis Ahmad.
Pada majlis itu, Julaihi turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Jabatan Agama Islam (JAIS) kepada 25 buah masjid dan surau dalam kawasan Sebuyau.
Sementara itu, Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) turut menyerahkan sumbangan kepada 30 penerima yang terdiri daripada warga emas dan mereka yang memerlukan yang disampaikan Sadiah.
No comments