Header Ads

Header ADS

Ketegangan Di Semenanjung Genting Gaza Kian Memuncak


BAITULMUQADDIS – Pejuang Palestin di Semenanjung Genting Gaza melancarkan tembakan mortar ke arah selatan Israel hari ini ketika ketegangan semakin memuncak di kawasan sempadan.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 125 peluru mortar telah dilancarkan terhadap beberapa lokasi di dalam wilayah yang dikuasai Israel.

“Kebanyakan peluru itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome milik tentera,” kata kenyataan itu.

Menurut polis, beberapa peluru mortar berkenaan mengenai kawasan terbuka di dalam wilayah Israel tetapi tiada kece­deraan dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, seorang penduduk Palestin yang menghampiri pagar sempadan dengan niat untuk melancarkan serangan semalam, maut selepas ditembak kereta kebal tentera Israel.

Sehari sebelum itu, sebuah kereta kebal menjadikan kawasan pemantau kumpulan pejuangan Islam sebagai sasaran selepas bahan letupan dipasang di kawasan berpagar di sempadan.

Tiga pejuang maut dalam serangan berkenaan dan menurut media Israel, situasi hari ini adalah tindak balas kumpulan tersebut terhadap pasukan tentera Israel.

Sementara itu, Israel bertegas menyatakan bahawa mereka sekadar mempertahankan kawasan sempadan dan menuduh Hamas bertanggungjawab dalam menggalakkan ribuan rakyat Palestin memecah masuk sempadan, sekali gus menyerang anggota tentera.

Di Gaza City, rakyat Palestin menaiki bot untuk melancarkan bantahan terhadap sekatan yang dikenakan tentera Israel, sekali gus bakal meningkatkan lagi ke­tegangan sedia ada.

Menurut laporan wartawan AFP, sebuah buah bot utama membawa 20 orang rakyat Pa­lestin dikuti dengan sekumpulan bot kecil bergerak dari pelabuhan nelayan di Gaza City.

Terdapat laporan yang bercanggah tentang sama ada bot-bot itu akan cuba melanggar sekatan tentera Israel yang kini membenarkan mereka belayar hanya dalam lingkungan enam batu nautikal atau 16 kilometer dari pantai. – AFP

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.