Catat Kekalahan Ke 7 Kedudukan Sarawak Kian Merosot
KUCHING - Kedudukan Sarawak dalam kempen Liga Premier 2018 semakin meruncingkan selepas mencatat kekalahan ketujuh dan kali ini di tangan skuad berstatus kelab, UKM FC dengan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.
Sarawak terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan penyerang tuan rumah Faiz Hanif pada minit ke-20.
Bagaimanapun, penyerang import tempatan kelahiran Sabah, Bobby Gonzales meletakkan kedudukan kembali seimbang dengan jaringan penyamaan pada minit ke-27.
Tuah memihak kepada tuan rumah selepas pemain importnya, Micheal Chukwubunna berjaya meledakkan jaringan kemenangan pada minit ke-71.
Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan berkata faktor kekurangan tenaga ekoran beberapa pemain menjalani ibadah puasa di siang hari antara punca pemainnya beraksi di bawah kemampuan sebenar.
“Pemain-pemain gagal mempamerkan aksi sebenar mereka berbanding sebelum ini.
“Mungkin disebabkan sebahagian daripada mereka berpuasa pada sebelah siang sehingga membataskan kemampuan mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kekalahan skuadnya itu semalam.
Bagaimanapun, Gillan tetap memuji semangat perjuangan ditunjukkan pemain-pemainnya pada perlawanan tersebut.
“Aksi di awal saingan seimbang sehingga kita berjaya mengekalkan kedudukan (1-1) sebelum melangkah ke bilik persalinan,” tambah Gillan sambil menyatakan gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Bobby Gonzales.
Namun, segalanya berubah apabila tuan rumah berjaya menjaringkan gol kemenangan sebaik bersambung babak kedua.
Kekalahan itu masih mengekalkan Sarawak di tangga keenam dan berkongsi 15 mata dengan UiTM FC (ketujuh) selain Sabah (kelima).
No comments