Seorang Lelaki Disahkan Menghidap Jangkitan Rabies Di Kuching
KUCHING - Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan satu lagi kes jangkitan rabies melibatkan seorang lelaki berumur 21 tahun yang tinggal di Batu Tujuh, di sini, menjadikan jumlah jangkitan ke atas manusia di Sarawak setakat ini sebanyak 14 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah, kes rabies dalam kalangan manusia itu disahkan melalui ujian sampel klinikal semalam.
"Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017 adalah 14 kes; di mana 12 kes telah meninggal dunia, satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan kes terbaru ini masih dalam rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, pesakit pernah digigit seekor anjing tidak bertuan, yang status vaksinasi serta kesihatan haiwan itu tidak diketahui, pada 4 Oktober namun dia tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan tetapi sebaliknya hanya membeli ubat sapu luka di farmasi.
Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya namun tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing.
Katanya, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya pada 24 November.
"Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan. Pesakit kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal HUS," katanya lagi.
Sehingga 25 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.
KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh. -Utusan Borneo Online
No comments