Header Ads

Header ADS

Gaji Cecah RM2,000 Sebulan Wajib Potong Bayar PTPTN - Teo Nie Ching


KUALA LUMPUR - Potongan gaji bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibuat sebaik gaji peminjam mencecah RM2,000 sebulan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata perkara itu diputuskan Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri, 23 November lalu.
Katanya, Kabinet memutuskan potongan gaji ke atas peminjam PTPTN pada kadar dua peratus atau RM40 sebaik gaji mereka mencecah RM2,000.
“Potongan akan meningkat secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji peminjam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH DAP-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk pelajar separuh masa yang mendapat keputusan kelas pertama.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
Pengumuman itu mendapat bantahan ramai terutama persatuan mewakili pelajar dan penuntut universiti yang mendesak syarat itu dikaji semula.
Nie Ching berkata, seramai 53,113 peminjam diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kerana memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 37,355 adalah penuntut universiti awam (UA) dan 15,758 orang daripada institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
“Kita belum bercadang memanjangkan pengecualian itu kepada peminjam yang mengikut kursus secara separuh masa,” katanya.
Beliau menjelaskan, jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima bermula Jun hingga September lalu adalah sebanyak RM817.75 juta.
Mengenai janji manifesto bayaran balik sehingga gaji graduan mencapai RM4,000, Nie Ching berkata, kerajaan akan menimbangkan semula perkara itu apabila kedudukan kewangan negara mengizinkan.
Menjawab soalan tambahan Kah Woh sama ada pengecualian diberikan kepada pelajar daripada keluarga M40, beliau berkata, ia akan diperluaskan kepada pelajar cemerlang kelompok M40 sama ada penuntut UA atau IPTS. Katanya, perkara itu turut diputuskan Kabinet pada 23 November lalu. -Berita Harian Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.