6 Atlet Olahraga Sarawak Kecewa MSNS Gagal Kotakan Janji Berkenaan Jumlah Insentif Diterima
KUALA LUMPUR - Enam atlet olahraga Sarawak meluahkan rasa kecewa apabila Majlis Negeri Sukan Sarawak (MSNS) gagal mengotakan janji untuk memberi insentif kemenangan kepada atlet yang meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, September lalu.
Grace Wong yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara baling tukul besi dalam laman Facebooknya meluahkan rasa kesal apabila MSNS sekadar memberi insentif RM3,000 kepada pemenang emas dan bukannya RM5,000 seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Selain Grace, Johnny Ling Siew Hong (baling tukul besi) Queenie Ting Kung Ni, Abdul Rahman Lee (lempar cakera), Mohd Rizzua Haizad Muhamad (110 m lari berpagar) dan Quek Lee Yong 400 meter lari berpagar turut mengalami nasib sama.
"Inikah cara Sarawak membayar apa yang kami sumbangkan. Mereka sendiri yang mengumumkan insentif RM5,000 akan diberikan kepada atlet yang menghadiahkan emas di dalam akhbar sebelum ini.
"Mereka membuat janji tapi akhirnya mereka hanya membayar kami RM3,000. Ia tidak adil," kata Grace.
Grace turut mendakwa terdapat atlet terpaksa menggunakan wang saku sendiri untuk makan kerana Sarawak hanya memberikan elaun kepada pemenang emas RM400 dan ia hanya diberi sekali dalam masa dua bulan.
"Adakah elaun itu mencukupi untuk tempoh dua bulan.
"Kami berusaha keras untuk mendapatkan emas demi Sarawak. Kebanyakan atlet dari Sarawak berlatih di KL (Kuala Lumpur) dan ada di antara kami yang terpaksa menggunakan wang saku sendiri untuk berulang-alik dari tempat tinggal ke pusat latihan," katanya.
Tegas Grace, dia berharap segala usaha keras dan pengorbanan atlet selama ini dihargai dan mahu MSNS mengotakan janjinya.
Pada temasya SUKMA Perak, Sarawak menamatkan saingan di tempat keempat dengan meraih 42 emas, 36 perak dan 60 gangsa.
Terdahulu, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan mengumumkan insentif RM5,000 untuk emas pertama, RM7,000 (kedua) dan seterusnya, manakala RM750 untuk perak dan RM500 bagi setiap gangsa.
Snowdan yang juga ketua kontinjen Sarawak dalam laporan sebelum ini juga memaklumkan pemenang emas pada SUKMA Perak dan layak untuk bertanding pada SUKMA seterusnya akan menerima elaun peralatan berjumlah RM500 dan elaun bulanan sebanyak RM400 manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing akan menerima elaun bulanan RM300 dan RM200. -Berita Harian Online
No comments