Gugurnya Seorang Wira Yang Tidak Didendang
MUKAH - Dia seorang yang periang dan gemar membantu. Dia juga seorang yang aktif sejak di bangku sekolah lagi.
Dan, terkorbannya Yahya Ali, 24, bersama lima anggota bomba lain dalam tragedi misi mencari dan menyelamat (SAR) di Puchong, Selangor malam kelmarin begitu menyayat hati seluruh rakyat negara ini.
Daripada penceritaan rakan karibnya Abdul Tazuddin Merjuki, 24, Allahyarham ternyata seorang wira sejati yang amat mengambil berat tentang insan lain.
Abdul Tazuddin yang ditemui di kediaman keluarga Allahyarham di Kampung Tian, Matu semalam memberitahu, Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada 11 November depan.
“Kali terakhir beliau (Yahya) WhatsApp saya pada malam Selasa lalu mengatakan tentang tiket murah untuknya ke majlis itu nanti,” ujarnya.
Abdul Tazuddin yang bersahabat baik dengan Yahya sejak kanak-kanak lagi berkata, Allahyarham sememangnya seorang yang periang dan sentiasa ingin membantu orang lain.
Malah, Abdul Tazuddin masih tidak percaya berita pemergian Allahyarham yang diterimanya pada malam kelmarin daripada seorang kenalan.
“Allahyarham gemar memberikan pertolongan, malah pernah membantu saya membayar yuran pengajian,” jelasnya.
Beliau dan Allahyarham pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya lagi, Allahyarham juga aktif dan cemerlang dalam sukan, malah pernah mewakili SMK Matu di peringkat negeri dalam pertandingan bola lisut.
Yahya merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik iaitu Zainab, 20, Julia, 17, Nur Atikah, 15, dan Arif Aiman, 12.
Sementara itu, jenazah Yahya tiba di kediaman keluarganya pada jam 6.37 petang semalam untuk dikebumikan pada sebelah malamnya di Tanah Perkuburan Kampung Tian, Matu.
Terdahulu di Sibu, ketibaan jenazah di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 5.30 petang semalam disambut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Khirudin Drahman bersama 70 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan BBP Sungai Merah.
Khirudin ketika ditemui media berkata, sambutan itu diadakan sebagai penghargaan dan penghormatan ke atas Allahyarham sebelum diterbangkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertolak ke kampung halamannya di Matu pada jam 5.45 petang semalam.
“Kami warga bomba Sarawak turut memberi sumbangan dan khairat kematian kepada keluarga mangsa,” katanya ringkas.
Sebelum jenazah diterbangkan ke Sibu, solat jenazah disempurnakan 500 jemaah di Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam pada jam 8.45 pagi semalam.
Allahyarham, seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), meninggal dunia akibat lemas ketika menjalankan operasi SAR remaja berusia 17 tahun yang terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Allahyarham berkhidmat di JBPM Selangor berpangkalan di Pelabuhan Klang sejak empat lalu tahun dan belum berumah tangga.
Selain Yahya, lima anggota lain yang terkorban dalam tragedi tersebut ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, dan Mazlan Omarbaki, 25, yang turut bertugas di BBP Port Klang, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari BBP Shah Alam.
Mereka lemas selepas terbelit tali di dasar lombong akibat pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi oleh BBP Pelabuhan Klang dan Shah Alam. -Utusan Borneo Online
No comments