Header Ads

Header ADS

Perlantikan Abang Johari Menganggotai Jawatankuasa Kabinet Menangani Isu Perjanjian Malaysia Langkah Positif


KUCHING - Pelantikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg untuk menganggotai Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka menjadi langkah positif untuk Sarawak mendapatkan semula haknya.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dengan Persekutuan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata wakil dari Sabah dan Sarawak memang diperlukan dalam jawatankuasa itu untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kami berterima kasih kerana Ketua Menteri diberi tempat dalam jawatankuasa ini dan ia memberi keyakinan bahawa hak-hak kita yang termaktub dalam MA63 akan dikembalikan.
“Kami juga percaya melalui rundingan yang sewajarnya, keinginan dan komitmen politik, kita akan mendapat kembali apa yang menjadi hak kita,” katanya.
Tahun lalu, Sharifah Hasidah mengetuai pasukan pakar undang-undang ke London untuk mengkaji dokumen berkaitan MA63 yang tidak terdapat di Malaysia.
“Saya akan terus membantu dan menyokong Ketua Menteri untuk memastikan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berjalan lancar serta berkesan dan diharapkan kita akan mendapat kembali hak kita tidak lama lagi,” katanya.
New Straits Times hari ini, melaporkan bahawa Abang Johari bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menjadi antara pegawai tertinggi dalam jawatankuasa Kabinet itu yang dibentuk bagi meneliti peruntukan yang termaktub dalam MA63.
Mereka akan dibantu oleh Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Peguam Negeri Sabah, Zaleha Rose Pandin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas akan turut serta dalam jawatankuasa itu.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tiba masa untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membetulkan status Sabah dan Sarawak.
“Kita perlu membetulkan apa yang salah dan menuntut hak kita. Secara jujur, saya hairan mengapa masih ada keperluan untuk mengkaji semula MA1963 untuk mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, adalah pihak yang menandatangani MA63 dan perkara itu telah dibincangkan secara meluas.
“Kita juga sudah menghantar delegasi ke London untuk mengkaji perkara sama dan seharusnya kita tidak lagi memfokus kepada “kajian” tetapi mempercepatkan proses untuk mengembalikan hak kita, khususnya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang penangguhan,” katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.