Header Ads

Header ADS

Program RTP Penyelamat Kepada Projek Pembangunan Di Kawasan Ahli Parlimen GPS


KUCHING - Peruntukan untuk projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bernilai RM5 juta daripada kerajaan Sarawak menjadi ‘penyelamat’ projek pembangunan di konstituensi masing-masing. 
Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini Ahli Parlimen bukan dari Pakatan Harapan (PH) belum menerima sebarang kepastian mengenai peruntukan daripada kerajaan pusat itu. 
“Kita telah mengadakan dua kali sesi taklimat (wakil rakyat bukan PH) tetapi telah dibatalkan... sehingga kini kita masih menunggu jawapan. 
“Semasa persidangan Dewan Rakyat, jawapan daripada menteri berkaitan seperti projek rumah ditangguhkan, program 1Malaysia dijenamakan, projek sekolah berkaitan IBS juga dikategorikan masih dalam kajian. 
“Maka itu setakat ini, mana-mana projek yang dijanjikan dahulu seperti membaiki rumah dan sekolah di kawasan saya, saya gunakan peruntukan RTP dari kerajaan negeri yang menjadi penyelamat kepada projek persekutuan,” ujarnya. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Ketua Menteri Bersama ADUN GPS di sini, semalam. 
Lukanisman berkata, sehubungan itu sebagai Ahli Parlimen GPS, beliau amat berterima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas peruntukan dalam bentuk projek itu. 
“Peruntukan itu mampu untuk menampung projek-projek yang bernilai RM50,000 hingga ke RM100,000 dan dengan perancangan yang baik bersama ADUN, saya berasakan kawasan di bawah tadbiran GPS akan terus membangun,” tegasnya. 
Selain peruntukan RM5 juta berbentuk projek pembangunan itu, beliau berkata, Ahli Parlimen juga menerima peruntukan RM200,000 untuk tujuan memudahkan operasi dan membayar gaji petugas di Pusat Khidmat masing-masing. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Publisiti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Christopher Gira Sambang ketika ditemui berkata, peruntukan RTP RM5 juta daripada kerajaan Sarawak itu amat bermakna, terutama bagi kawasan luar bandar. 
“Ia termasuk kepada Ahli Parlimen PRS yang kebanyakan di kawasan luar bandar, sekurang-kurangnya ia membolehkan mereka bergerak (membangunkan projek). 
“Kawasan luar bandar amat memerlukan pembangunan melalui peruntukan berbentuk projek ini,” katanya. 
Gira yang juga ADUN Tamin berkata, bagaimanapun mereka perlu mengemukakan senarai projek kepada Unit Pelaksanaan Pemantauan Negeri (SIMU). 
Katanya, projek berkenaan bukan secara langsung melalui wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau ADUN tetapi terus kepada agensi kerajaan melalui tender. 

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas peruntukan RM200,000 bagi tujuan melancarkan operasi Pusat Khidmat semua Ahli Parlimen di bawah GPS. -Utusan Borneo Online 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.