Sarawak Jalankan Program Transformasi Dalam Semua Bidang Pembangunan - Abang Jo
KUCHING - Sarawak kini sedang menjalankan program transformasi penting meliputi semua bidang pembangunan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tumpuan Sarawak tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan manusia dan pembinaan kapasiti institusi dengan mengguna pakai undang-undang, dasar atau prosedur yang berkaitan.
Ia katanya, bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan yang lebih penting adalah transformasi perkhidmatan awam untuk memenuhi cabaran masa kini dan masa depan.
“Transformasi yang kita bayangkan termasuk perubahan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera yang harus bergerak ke hadapan selari dengan pembangunan keseluruhan negeri ini.
“Maka itu, kami mengalu-alukan cadangan anda jika ada, bagi pindaan kepada Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 atau susunan organisasi anda sekarang jika ini diperlukan untuk memenuhi harapan dan permintaan pemegang kepentingan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Sehubungan itu, Abang Johari mengucapkan selamat ulang tahun ke-25 kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak.
“Tahniah kepada Ketua Pendaftar dan kakitangan Mahkamah Bumiputera Sarawak sempena ulang tahun ke-25 pada tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, Pejabat Ketua Pendaftar Mahhkamah Bumiputera Sarawak merupakan unit penting di bawah Jabatan Ketua Menteri kerana ia adalah oraganisasi yang mentadbir, menyelia dan menyelaras Mahkamah Bumiputera di negeri ini.
“Kita bernasib baik kerana kewujudan unit ini menjadikan Sarawak unik dan lain berbanding negeri lain di Malaysia.
“Selain Mahkamah Sivil dan Syariah, kita menyediakan institusi rasmi untuk menimbang atau membicarakan perlanggaran adat dan undang-undang Bumiputera dan ini diguna pakai oleh lebih separuh daripada populasi di negeri ini,” katanya.
Beliau gembira kerana Pejabat Ketua Pendaftar yang sudah wujud lebih 25 tahun sudah menjalankan peranan dan fungsinya dengan berkesan.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai sedia da dan mereka yang pernah berkhidmat pada masa lalu atas sumbangan yang membolehkan unit iniberfungsi menurut terma rujukannya.
“Khidmat mereka sebagai majistret dan pentadbir telah menjadikan Mahkamah Bumiputera dan Pejabat Ketua Pendaftar terus relevan bagi keperluan penduduk peribumi di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada ahli jawatankuasa penganjur ‘Sarawak Native Court 25th Anniversary’ di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Delegasi itu diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga penasihat kepada jawatankuasa itu.
Ahli-ahli jawatankuasa yang turut hadir ialah Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion, Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera Datu Thomas Akin Jelimin dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak yang juga pengersusi penganjur Datu Michael Dawi.
Majlis makan malam akan diadakan hari ini di sebuah restoran hotel tempatan di bandar raya ini. -Utusan Borneo Online
No comments