Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Gunapakai Pendekatan Baharu Biayai Projek-Projek Insfrastruktur Luar Bandar


KUCHING - Kerajaan Sarawak akan mengguna pakai pendekatan baharu bagi membiayai projek-projek infrastruktur luar bandar khususnya pembinaan jalan raya dan penyambungan bekalan air bersih.

Ketua Menteri Datuk Patingi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinannya kini memberi penekanan kepada usaha memperluaskan bekalan air bersih dan jalan raya di luar bandar.

“Walaupun ongkosnya besar, kita ada cara sendiri bagi mendapatkan dana dan pada November nanti, Insya-Allah saya akan umumkan pendekatan kita untuk membiayai projek-projek infrastruktur, jalan dan bekalan air bersih yang diperlukan masyarakat luar bandar Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Korban Aidiladha dan Pengagihan Sumbangan Daging Korban anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok di pekarangan Pusat Khidmat PBB Satok di sini seamalam.

Abang Johari yang juga ketua PBB Satok berkata kerajaan pimpinannya juga tidak banyak retorik sebaliknya memfokus kepada perkara-perkara yang baik untuk Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Apa yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus diberi perhatian dan mudah-mudahan dalam hal ini, kita dapat mendapatkan semula apa juga kuasa yang sudah terhakis sejak selama beberapa tahun.

“Saya percaya dengan kesatuan dan tiada retorik, kita memfokus sahaja, akhirnya apabila tiba masanya kita berserah kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan rakyat Sarawak menentukan masa depan mereka,” ujarnya.

Beliau juga berterima kasih kepada kepimpinan negeri terdahulu kerana memanfaatkan kekuatan serta kelebihan yang ada untuk membangunkan rakyat lebih-lebih lagi masyarakat luar bandar.

Kerajaan Sarawak tambahnya, akan meneruskan perjuangan dimulakan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem walaupun berdepan cabaran. “Inilah pengorbanan yang harus diberikan penekanan dan dalam hal ini sudah tentu hak-hak kita mesti diperjuangkan secara berhemah,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut berucap pada majlis itu berkata penganjuran majlis itu adalah bagi mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail yang menggambarkan perjuangan kepimpinan PBB terdahulu serta kini.

Katanya perjuangan itu telah meletakkan Sarawak di kedudukan sesuai, tidak hanya bersaing di peringkat negeri tetapi global.

“Perjuangan PBB diteruskan dan dengan pembentukan GPS (Gabungan Parti Sarawak) tidak hanya akan meletakkan Sarawak dalam kedudukan Malaysia tetapi dunia. Itulah hasrat kita.

“Oleh itu sama-samalah kita memberi sokongan untuk memastikan kejayaan ini tetapi ia sudah tentu memerlukan pengorbanan semua kita,” katanya.


Pada majlis itu, lebih 200 asnaf termasuk saudara baharu dari Kampung Mongkos, Serian menerima sumbangan daging korban.

Hadir sama Timbalan Ketua PBB Satok Ibrahim Baki, Ketua Pemuda Satok Dzanaludin Zainudin dan Ketua Wanita PBB Satok Datuk Dayang Madinah Tun Openg. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.