Header Ads

Header ADS

Tun Mahathir Kagum Dengan Pembangunan Dan Kepesatan Negeri Sarawak


KUCHING - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kagum dengan pembangunan serta kemajuan pesat yang dicapai di negeri ini khususnya di bandar raya ini.

Beliau yang berada di negeri ini buat pertama kali selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh, berkata pembangunan tidak hanya terhad di Kuching tetapi juga tempat-tempat lain di negeri ini.

Malah katanya, kemajuan itu turut disokong oleh pembangunan industri dan kemasukan banyak pelaburan asing ke negeri ini.

"Saya yakin kemajuan ini boleh ditingkatkan lagi dan kita perlu menggunakan sebaiknya aset yang kita seperti sungai dan tanah di negeri ini. 

"Tanah di Sarawak luas berbanding populasinya tetapi pembangunan mengambil kira aspek alam sekitar.

"Sungai pula adalah aset terbaik dan boleh digunakan untuk banyak tujuan seperti pengangkutan, penjanaan kuasa dan banyak lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat mengenai pembangunan negeri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Berdasarkan kepada taklimat yang diberikan, Tun Dr Mahathir berkata potensi untuk Sarawak terbuka luas tetapi ia bergantung kepada Sarawak sendiri untuk menggunakan apa yang ada.

Ditanya mengenai hubungan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir berkata ia adalah baik. 

Katanya, beliau telah bertemu beberapa kali dengan pemimpin Kerajaan Negeri dan dapati hubungan antara kedua-dua pihak adalah baik.

Dalam perkembangan lain, Tun Dr Mahathir turut mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu hari ini. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.