Header Ads

Header ADS

Pemansuhan GST Diharap Dapat Turunkan Harga Barang Di Pasaran


KUCHING - Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diharap membantu menurunkan harga barang terutama di Sarawak.

Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais berkata harga barang dipengaruhi pelbagai kos termasuk cukai sama ada GST mahupun SST.

Faktor lain, kos langsung dan tidak langsung dalam setiap aktiviti dalam rantaian bekalan barangan seperti kos bahan mentah, logistik, utiliti dan lain-lain yang memberi kesan kepada kos pengeluaran.

Selain itu katanya, harga barang juga dipengaruh bekalan dan permintaan terhadap barang tersebut di mana jika permintaan meningkat harga turut akan meningkat dan begitu juga sebaliknya.

“Kita kini mempunyai seorang ahli daripada DAP Sarawak sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Chong Chieng Jen) di mana kementerian ini bertanggungjawab mengawal harga barang di negara ini.

“Oleh kerana beliau masih baharu, kita memberikan beliau sedikit masa untuk memperkenalkan polisi yang dapat menurunkan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan daripada Dr Hazland Abang Hipni (PBB-Demak Laut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Bagi memastikan penurunan harga barang, kerajaan menurut Naroden telah melaksanakan banyak langkah namun ia adalah di luar kawalan kerajaan.

Bagaimanapun menurut Naroden para usahawan Sarawak boleh membantu dalam mengurangkan kos produk dengan mengurangkan komponen import, meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kos rantaian bekalan seperti logistik, pentadbiran, utiliti, pembaziran dan sebagainya.

Terdahulu Naroden berkata kerajaan sentiasa menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi polisi mesra kerajaan dan menyediakan pelbagai bantuan dalam bentuk kewangan dan fasitiliti bukan kewangan.

Katanya bantuan yang diberikan kepada PKS termasuk pinjaman mudah, geran, latihan, program pembangunan dan pelbagai insentif lain.

“Satu daripada inisiatif untuk meningkatkan gaji ialah pelaksanaan gaji minimum yang mana ketika ini adalah RM920 sebulan bagi Sarawak dan RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia.

“Di pihak Kerajaan Sarawak pula, kita memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk bekerja di Taman Perindustrian Samajaya dan Samalaju.

“Semua inisiatif ini diharap akan membantu menyediakan pekerjaan dan memperbaiki gaji rakyat serta menarik penyertaan dalam PKS dan seterusnya memperbaiki standard kehidupan rakyat,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.