Walau bagaimanapun persoalan timbul terhadap jumlah yang bakal diperoleh oleh setiap pemain kerana tidak ditentukan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mahupun jurulatih Les Bleus, Didier Deschamps. Sebaliknya, Persatuan Bola Sepak Perancis akan menentukan jumlah wang tunai yang akan diagihkan kepada setiap pemain dan pegawai pasukan.
Selaku juara, Perancis mendapat hadiah wang tunai AS$38 juta dolar (RM153 juta) manakala naib juara Croatia memperoleh AS$28 juta dolar (RM113 juta). Kenaikan sebanyak 12 peratus daripada hadiah wang tunai daripada Piala Dunia 2014. Secara keseluruhannya, FIFA berbelanja AS$791 dolar (RM3.2 bilion) pada edisi kali ini meliputi persiapan, pemain dan persembahan.
Berdasarkan laporan pada bulan lalu, hadiah wang tunai sepatutnya diberikan kepada pelbagai pasukan kebangsaan. Penganjur boleh menentukan berapa jumlah yang mahu diberikan dan itu bermakna akan ada pemain dari sesetengah negara menerima bayaran lebih.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet pernah berkata pemainnya akan dapat 30 peratus daripada jumlah wang tunai yang diterima. Setiap pemain juga dijamin bonus sebanyak 280,000 euro (RM1.3 juta) jika berjaya ke final.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe sebelum ini mengumumkan dia mahu menderma AS$22,000 (RM1.4 juta) daripada setiap yuran permainan disusuli bonus kepada Preiers de Cordees iaitu pusat kebajikan sukan untuk orang cacat. 
“Apabila bermain dalam Piala Dunia, satu penghormatan kerana impian menjadi nyata. Sudah pasti wang merupakan pelaburan namun saya tidak peduli me­ngenainya. Saya bukan bermain untuk wang,” kata pemain pertahanan Samuel Umtiti. 
Yang pastinya kejayaan lebih bernilai adalah memenangi trofi Piala Dunia yang beratnya 5.9 kilogram dan diperbuat daripada emas 18 karat.
Direka oleh pengukir dari Itali pada 1974, trofi itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$20 juta (RM80.76 juta). Walau bagaimana­pun pemenang hanya diberikan replika untuk mengelak ber­ulangnya kejadian ke atas trofi Jules Rimet yang pernah hilang. – AGENSI