Header Ads

Header ADS

MSN Sarawak, PBS Mohon Buka Mata Isu Pelumba Basikal SUKMA Sarawak Digugurkan


KUCHING - Biarpun isu tiga pelumba Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dalam acara berbasikal lebuh raya yang digugurkan masih belum ada maklum balas daripada pihak bertanggungjawab, mereka tetap bersemangat menyertai perlumbaan di peringkat tempatan bagi membuktikan mereka mempunyai potensi mewakili Sarawak dan seterusnya mampu menyumbang pingat untuk negeri Sarawak.

Pengurus Prestanda Cycling Team Abdul Wassi bin Abdillah berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang reaksi atau jawapan kepada kemelut yang dihadapi ketiga-tiga pelumbanya yang digugurkan daripada pasukan SUKMA Sarawak oleh ketua jurulatih skuad berbasikal Sarawak, Leon Schepers menerusi emel.

"Sehingga kini, pihak kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) Sarawak dan Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) berhubung masalah tersebut biarpun berita ini telah keluar di dalam akhbar tempatan Utusan Borneo pada 9 Julai lepas.

"Adalah mustahil bagi PBS tidak mengetahui keputusan ketua jurulatihnya berkenaan dengan keputusan yang diambil dalam menggugurkan pelumba dan MSN Sarawak yang bertanggungjawab dalam mengawasi setiap persatuan sukan di Sarawak perlu bertindak membela pelumba yang berlatih di bawah naungan persatuan sukan. 

"Sepatutnya kedua-dua pihak tersebut telah boleh memberikan maklum balas berkenaan masalah ini kepada kami agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya kepada media selepas berakhir pertandingan 'Samarahan Bike Challenge 2018' yang berlangsung di Samarahan, semalam.

Dalam pertandingan itu, tiga pelumba Prestanda Cycling Team yang digugurkan daripada pasukan SUKMA Sarawak telah menunjukkan aksi cemerlang dalam kategori yang dipertandingkan.

Pelumba Abdul Qazmizan telah berjaya memenangi tempat kedua dalam kategori Tertutup Sarawak dan dalam kategori Terbuka Sarawak pula telah berjaya meraih tempat kelapan.

Sementara seorang lagi pelumba, Muhamad Syazwan yang turut bertanding dalam kategori Tertutup Sarawak berjaya meraih tempat kelima dan menduduki tempat kesebelas dalam kategori Terbuka Sarawak.

Manakala, seorang lagi pelumba muda Raya Othman yang bertanding di peringkat Kategori Remaja berjaya menduduki tempat keenam dan dalam kategori Tertutup Sarawak menduduki tempat kesembilan.

Abdul Wasi turut memaklumkan selain tiga pelumba pasukannya, seorang lagi pelumba kelahiran Sarawak yang mewakili pasukan kebangsaan di Bukit Jalil Nur Azrenna bte Ahmad Jumry turut menerima nasib yang sama apabila digugurkan daripada mewakili negeri dalam menyertai pasukan SUKMA Sarawak.

"Jika keadaan sebegini berterusan, Sarawak akan kehilangan ramai pelumba berbasikal yang berbakat dan nescaya sukan berbasikal itu sendiri akan juga menerima nasib yang sama.

"Sepatutnya PBS wajar memantau dan meneliti setiap bentuk latihan dan perancangan jurulatih terhadap pelumba-pelumba yang mengikuti latihan di bawah persatuan dan peringkat SUKMA.

"Sebaliknya ini tidak berlaku. Pelumba diarah berlatih sendirian tanpa sebarang pengawasan daripada jurulatih. Lebih mengecewakan, pelumba bagi kategori lebuh raya ini tidak dipedulikan berbanding kategori trek yang diberikan layanan baik sehingga berlatih di luar negara," ujarnya.

Ditanya mengenai semangat ketiga-tiga pelumba berbasikal itu, Abdul Wasi menjelaskan mereka tetap bersemangat dan mahu membuktikan bahawa keputusan ketua jurulatih skuad berbasikal Sarawak, Leon Schepers menggugurkan mereka adalah keputusan yang salah.

"Tidak dinafikan pada mulanya semangat mereka merudum selepas mengetahui keputusan bahawa mereka ini digugurkan daripada pasukan SUKMA Sarawak tanpa sebarang alasan munasab dan hanya diterima menerusi emel.

"Walaupun, nama mereka digugurkan daripada pasukan SUKMA Sarawak, mereka tetap terus berlatih dan memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertainya.

"Mereka sentiasa berharap akan ada keputusan positif selepas ini sebaik adanya campur tangan daripada MSN dan PBS sekiranya mereka mahu melihat anak-anak tempatan Sarawak beraksi di SUKMA Perak yang berlangsung pada 12 hingga 22 September ini," katanya yang mengakui pelumba-pelumbanya mempunyai potensi untuk menyumbang pingat kepada Sarawak.

Prestanda Cycling Team merupakan sebuah pasukan termpatan yang berhasrat mahu melahirkan bakat anak-anak muda yang berminat dalam sukan berbasikal di Sarawak.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.