Header Ads

Header ADS

Eksploitasi Aset Sarawak Demi Kemajuan Negeri Ini


KUCHING - Sarawak perlu mengeksploitasi kekayaan aset yang dimilikinya seperti sungai dan tanah untuk meningkatkan lagi kemajuan di negeri ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sarawak memiliki tanah yang sangat luas untuk dibangunkan berbanding populasi penduduknya yang kecil.

Manakala sungai katanya, merupakan aset terbaik yang boleh digunakan bagi banyak perkara seperti pengangkutan, penjanaan kuasa dan banyak lagi.

“Daripada taklimat yang diberikan kepada saya, potensi Sarawak sangat terbuka luas dan ia bergantung kepada bagaimana anda menggunakan aset yang anda ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat pembangunan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Taklimat tersebut disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu Dr Mahathir menyatakan rasa kagum beliau terhadap kemajuan yang dicapai Sarawak terutama di bandar raya Kuching.

Katanya, banyak perubahan dan pembangunan dicapai di Sarawak yang mana tidak hanya terhad di bandar raya Kuching tetapi juga tempat-tempat lain di negeri ini.

Malah katanya, Sarawak turut menyaksikan pertumbuhan industri yang memberangsangkan disokong pelaburan asing ke negeri ini.

“Saya yakin ini boleh ditingkatkan lagi dan ia bergantung kepada bagaimana Sarawak menggunakan aset yang mereka ada untuk tujuan ini,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan antara Kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata ia adalah baik.

Beliau katanya telah bertemu beberapa kali dengan pemimpin Kerajaan Sarawak dan mendapati hubungan antara kedua-dua pihak adalah baik.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut mengesahkan bahawa bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Dewan Rakyat akan bersidang buat pertama kalinya hari ini selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.




No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.