Khabar gembira kepada ADUN daripada DAP dan PKR itu didedahkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sidang media bersama beberapa ADUN Pakatan Harapan selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagi Penggal Ke-18 di sini sebentar tadi.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah geran yang bakal diberikan kerana ia akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Persidangan DUN nanti. 
“Apa yang saya dengar, tahun ini kerajaan negeri akan menyediakan geran MRP kepada ADUN pembangkang.
“Berapa jumlah diberikan kepada ADUN DAP dan PKR ini saya tidak pasti, namun ia lebih besar daripada diterima oleh ADUN pembangkang di negeri-negeri lain sebagai contoh, saya dengar kerajaan Johor hanya memberikan geran sebanyak RM50,000 kepada ADUN UMNO yang menjadi pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, pemberian geran MRP kepada ADUN pembangkang adalah pertama kali dilakukan oleh kerajaan negeri dan meminta pemimpin pembangkang menghargainya. - UTUSAN ONLINE