Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Beri Jaminan Isu Bekalan Air Akan Dapat Diatasi Sepenuhnya Penghujung 2025


KUCHING - Isu bekalan air yang sering menjadi rungutan ramai yakin dapat diatasi menjelang penghujung 2025.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata masalah tekanan rendah dan gangguan bekalan akan diselesaikan dengan pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.

Kerajaan Sarawak katanya, memperuntukkan RM8 bilion bagi projek itu dan RM2 bilion daripadanya disediakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11.

Sebagai pelaksanaannya, Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air sedang dilakukan bagi menyediakan rangka kerja holistik mengatasi masalah yang dirasai di seluruh Sarawak.

“Sejajar dengan isu bekalan air yang kini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sistem Grid Bekalan Air Sarawak akan fokus di kawasan kritikal terlebih dahulu,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Dr Rundi menjelaskan tentang RM2 bilion, dana itu membabitkan pelaksanaan 222 projek yang membabitkan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip, pengurusan air terbuang, inisiatif pemodenan dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

“Di bawah Program Sistem Grid Bekalan Air Sarawak, kawasan tumpuan, SAWAS juga termasuk.


“Pelaksanaan projek SAWAS amat penting dalam memastikan visi Sarawak mencapai 100 peratus liputan bekalan air pada 2025.


“Ini kerana SAWAS merupakan sistem bekalan air paling strategik yang berupaya menyediakan air bersih kepada penduduk luar bandar yang terjejas bekalan selama ini,” ujarnya sambil menambah, ini kerana kedudukan penempatan beberapa kawasan terletak jauh dari sistem bekalan air sedia ada.

Pada sidang media sejurus itu, Dr Rundi berkata isu bekalan air pada masa ini antara lain disebabkan saluran paip dan loji rawatan terlalu lama serta penyelarasan tenaga kerja.

“Dahulu bekalan air di Sarawak dikendalikan satu unit di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), oleh itu banyak perkara sukar hendak dilakukan contohnya penyelenggaraan,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.