Header Ads

Header ADS

Ketua Menteri Sarawak Dan Isteri Ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri Kepada Rakyat Sarawak


KUCHING - Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Sarawak yang beragama Islam di mana sahaja berada.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada umat Islam selepas sebulan menunaikan ibadah puasa dan marilah kita meraikannya secara bersama dalam suasana harmoni.

“Di Bumi Kenyalang ini, hari terbesar bagi umat Islam ini dalam keadaan aman sentosa, dengan penuh keceriaan dan serba lengkap. 

“Berpakaian baharu dan bersih, kita orang Islam akan berkumpul di masjid-masjid untuk bersembahyang raya, bertakbir, bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan memperbaharui persahabatan dan kenalan kita dengan semua orang Islam yang ditemui.

“Dalam pada kita merayakan hari raya dalam keadaan yang begitu selesa, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat adik kakak kita yang terpaksa mengharungi suasana yang serba kekurangan dan kurang selesa dalam menyambut hari yang sungguh mulia ini,” katanya dalam ucapan perutusan Hari Raya Aidilfitri. 

Sementara itu, kita harus juga mengingati mereka yang kurang berkemampuan seperti orang kurang upaya, fakir miskin dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pesisir pantai di mana masih belum lengkap kemudahan awamnya perlu sentiasa berada dalam ingatan kita.

Mereka ini menghadapi banyak cabaran untuk menyambut hari raya dalam suasana yang selesa.  

“Saya amat berharap dan berdoa agar mereka sentiasa tabah menghadapi segala cabaran dan kesulitan. 

“Namun, mereka yang susah dan miskin tidak akan dibiarkan tanpa pembelaan.

“Mereka inilah dalam golongan orang yang seharusnya mendapat perhatian lebih daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

“Manakala golongan yang berada dan kaya mampu membela nasib mereka sendiri tanpa banyak bantuan daripada kerajaan,” katanya lagi.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.