Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Komited Selesaikan Isu Air Bersih Dan Keperluan Rakyat


KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak komited dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di negeri ini dengan menggunakan dananya sendiri tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg, beberapa langkah telah diambil secara inklusif dalam menyelesaikan masalah air bersih ini di kawasan Kabong, Dalat dan Sadong Jaya sebelum ini.

“Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai perancangan jangka panjang dalam menyalurkan air bersih ke seluruh negeri melalui satu grid daripada empangan-empangan hidro sedia ada adalah satu program jangka panjang yang akan menelan belanja besar.

“Kekurangan air bersih merupakan permasalahan utama yang dihadapi rakyat kita khususnya di kawasan pesisir pantai.

“Tempat-tempat seperti Kabong, Dalat, Maludam, Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan beberapa tempat lain menghadapi kesulitan kerana terputus bekalan air atau bekalan air yang tidak menentu.

“Baru-baru ini saya telah mengadakan lawatan kerja ke Kabong, Dalat dan Sadong Jaya untuk mencari jalan bagaimana masalah bekalan air di kawasan-kawasan ini dapat diselesaikan.

“Alhamdulillah, bekalan air di Kabong dapat dipulihkan dan langkah sementara seperti membekalkan tong-tong air dan lori-lori tangki air dapat dilaksanakan di kawasan-kawasan tersebut untuk menyelesaikan masalah kekurangan atau ketiadaan air khususnya pada musim perayaan ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Zohari memberi jaminan bahawa isu dan masalah bekalan air bersih ini akan terus diberikan perhatian menyeluruh oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan dalam masa yang sama kerajaan mengambil langkah-langkah untuk memperkukuhkan status ekonomi negeri Sarawak.

Kerajaan Negeri Sarawak katanya turut memberikan perhatian kepada beberapa keperluan asas dan awam lain seperti jalan raya dan jambatan yang menjadi keperluan penting rakyat dan menjadi agenda utama Kerajaan Negeri Sarawak dalam jangka pendek dan panjang.

“Kerajaan Negeri Sarawak komited dalam menyediakan kemudahan asas dan awam kepada rakyat di negeri ini.

“Menjadi agenda utama Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan keperluan rakyat dapat disegerakan,” katanya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.