Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Terus Beri Keutamaan Bangunkan Kawasan Luar Bandar


KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memberi keutamaan yang tinggi dalam membangunkan kawasan luar bandar terutama dari segi infrastruktur dan kemudahan asas. 
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau akan meneruskan pelbagai program dan projek pembangunan di kawasan luar bandar termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi. 
Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi bekalan air sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.
“Ini adalah antara banyak inisiatif yang telah kita laksanakan dan banyak lagi perlu dilakukan di kawasan luar bandar. 
“Saya sedar bahawa ini adalah isu-isu kritikal yang perlu ditangani, supaya jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan,” ujarnya. 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini malam kelmarin.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib. 
Dalam pada itu, Abang Zohari berkata, Kerajaan Negeri Sarawak akan bekerja rapat dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan kepada kawasan luar bandar tidak terjejas oleh perubahan kerajaan. 
Beliau turut memberi jaminan bahawa polisi kerajaan Sarawak akan turut menangani isu perbezaan pendapatan antara komuniti bandar dan luar bandar. 
Bagi menangani isu itu katanya, lebih banyak aktiviti ekonomi perlu dirancang dan dipromosikan di kawasan luar bandar supaya komunitinya boleh menikmati manfaat daripada pendapatan yang dijana secara langsung atau tidak langsung. 
“Saya juga mahu menggalakkan lebih ramai usahawan luar bandar dibangunkan. Untuk itu, kita perlu ada polisi yang dapat membantu usahawan-usahawan ini berkembang. 
“Sebagai contoh, saya telah bersetuju dan membuat keputusan bahawa bagi usahawan kecil dan pekebun kecil, surat tanah tidak lagi prasyarat bagi bantuan kerajaan dan pengambilan pekerja asing. 
“Ini sudah pasti akan memberi manfaat besar kepada pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang rasa kurang bernasib baik oleh polisi yang dilihat sebagai tidak mesra kepada mereka,” katanya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.