Header Ads

Header ADS

Keputusan Mempelawa UPP Menyertai GPS Akan Ditentukan Selepas Pengesahan Penubuhan Gabungan Baharu


KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata keputusan sama ada Parti Rakyat Bersatu (UPP) ‘dipelawa’ menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan ditentukan selepas penubuhan gabungan baharu itu sah.

“Itu akan kita tentukan nanti kerana kita harus menjadikan GPS satu gabungan yang formal dan sah dari segi undang-undang terlebih dahulu.

“Maknanya kita perlu mendaftar dengan ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) dan saya percaya proses ini tidak mengambil masa yang lama,” katanya apabila ditanya sama ada UPP akan dipelawa menyertai GPS atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini semalam memaklumkan empat parti asal Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebulat suara keluar Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan gabungan baharu parti asal Sarawak iaitu GPS.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek hasil perubahan landskap politik negara ekoran kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14).

Ia juga katanya, bagi membolehkan Sarawak memfokus kepada kepentingan serta hak- haknya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

UPP ditubuhkan pada 2014 dan merupakan antara parti politik yang baharu ditubuhkan serta pecahan daripada SUPP akibat perbalahan antara pemimpin parti.

Dipimpin bekas Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh, UPP merupakan parti politik yang pro-BN di Sarawak.

Selain Wong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, tiga lagi ADUN daripada parti itu ialah Datuk Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).

Perbalahan antara UPP dan SUPP berlanjutan sehingga pada 23 Mac lepas keedua-dua pasti itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan berikrar memberi sokongan penuh kepada kepimpinan BN Sarawak diketuai Abang Johari.

MoU itu ditandatangani bagi mencapai kata putus untuk bergabung atas semangat BN bagi menjamin kemenangan BN pada PRU14.

Susulan MoU itu, satu jawatankuasa kerja dibentuk daripada kedua- dua parti bagi mencari jalan perdamaian dan mengelak perselisihan faham demi kepentingan parti.

Pada 6 Mei lalu UPP menerusi satu kenyataan akhbar mengatakan parti itu masih lagi parti politik yang bebas melainkan dan sehingga ia mencapai kesepakatan bersama mengenai syarat- syarat penggabungannya dengan SUPP.

UPP berkata parti itu masih dalam perbincangan dengan SUPP untuk menggabungkan kedua-dua parti itu menerusi satu MoU yang ditandatangani Mac lalu.

UPP bagaimanapun berkata disebabkan persiapan menghadapi PRU14 kedua-dua parti hanya berpeluang mengadakan rundingan awal menerusi Jawatankuasa Perundingan ditubuhkan di bawah MoU tersebut.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.