Header Ads

Header ADS

GPS Akan Dilancarkan Pada 22 Julai Ini


KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menggantikan Barisan Nasional (BN) seperti yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari pada 12 Julai lepas hanya akan dirasmikan pelancarannya pada 22 Julai ini.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jawatankuasa protem Gabungan Parti Sarawak itu telah dibentuk yang merangkumi lapan orang terdiri daripada presiden dan setiausaha agung setiap parti komponen.

Jawatankuasa bertindak dipengerusikan Nanta yang bermesyuarat di sini semalam telah ditugaskan untuk merangka perlembagaan dan memilih logo parti sebelum mengemukakan pendaftaran GPS kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Kita menyasarkan 22 Julai untuk melancarkan GPS, kita perlu bekerjasama dalam tempoh ini (merangka perlembagaan)," ujarnya yang mana tarikh tersebut kebetulan jatuh pada Hari Sarawak.

Perlembagaan itu kelak katanya, akan mencerminkan identiti Sarawak.

Selain PBB, GPS dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).


Empat parti itu bertindak keluar daripada BN susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kerajaan persekutuan kini ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Empat parti itu merupakan parti pemerintah kerajaan Sarawak.

Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2021. 

Penubuhan GPS dikatakan antara strategi empat parti itu untuk mengekalkan kedudukan mereka.


Nanta berkata lagi, pertandingan logo akan dibuka kepada warga Sarawak dan pemenang akan diberikan hadiah wang tunai. Perincian lanjut pertandingan akan dimaklumkan menerusi akhbar dan media sosial, katanya.

Antara yang menghadiri mesyuarat, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Timbalan Ketua Penerangan PRS Christopher Gira, Setiausaha Agung PDP Datuk Anthony Nogeh, Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan, Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman.
Theme images by wibs24. Powered by Blogger.