Header Ads

Header ADS

Apa Masalah Masing Dengan PBB?


KUCHING - Ramai yang mempertikaikan kenyataan yang dibuat Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berhubung dengan cadangan parti itu yang mahukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijadikan sebagai sebuah parti pelbagai kaum.
Cadangan itu dilihat seolah-olah mahu 'mengekalkan' dirinya dalam kelompok pemimpin politik elit di Sarawak selepas beberapa siri ahli-ahli PRS di beberapa bahagian telah keluar parti dan mendesak Masing meletak jawatan sebagai Presiden.
Sebelum ini, bekas-bekas ahli PRS yang keluar parti mendesak Masing meletak jawatan dan bertanggungjawab di atas kekalahan 'teruk' parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) selain tidak menyenangi keputusan memecat 5 pemimpin PRS sebelum ini.
Juga, sikap Masing yang menunding jari ke atas komponen parti seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang dikatakan sebagai tidak membantu mereka (PRS) dalam kempen PRU14 di kawasan Parlimen Selangau dan Lubok Antu serta Julau sehingga menyebabkan calon mereka kalah.
Tidak cukup dengan itu, Masing juga dengan angkuh mahu GPS ini dijadikan sebuah parti yang berbilang kaum dengan tidak mahu ada parti lain yang menjadi dominan dalam menentukan keputusan mahupun mendapat lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
Tindakan Masing yang secara terang dan menggunakan media massa dalam meminta rakyat 'mempersetujui' cadangannya itu disifatkan sebagai suatu yang bertentangan dengan persahabatan dalam gabungan, soal Naib Presiden Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sebaliknya, sebarang cadangan dan persoalan perlu dilakukan dalam bentuk perbincangan secara bersama dalam melibatkan hala tuju dan struktur GPS.
“Bukannya bertindak sendirian menerusi media massa dalam menentukan struktur entiti perikatan yang dibentuk.
“PRS tidak sepatutnya menentukan bagaimana struktur GPS kerana ia baharu sahaja ditubuhkan, malah belum berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.
Abdul Karim turut mempersoal motif tindakan Presiden PRS itu, yang seharusnya setiap cadangan perlu dibincangkan secara tertutup bersama ahli yang menjadi sebahagian daripada gabungan ini dan bukannya menerusi persendirian.
Masing dalam kenyataannya sebelum ini memberi amaran awal bahawa GPS bakal berhadapan masalah pada pilihan raya negeri jika strukturnya masih sama dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau turut merujuk PBB yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lebih separuh daripada parti lain dan dominan dalam komponen tersebut.
Masing berkata, GPS mesti membenarkan pembahagian secara adil dalam kalangan parti-parti komponennya.
Kenyataan Masing ini merujuk kepada kedudukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dilihatnya sebagai sangat berkuasa.
“Kenapa beliau (Masing) menentang PBB sebagai parti yang dominan?

“Adakah dia mempunyai masalah dengan PBB, malah seolah-olah menyamakan UMNO dengan PBB,” tegasnya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.