Header Ads

Header ADS

GPS Berdepan Cabaran Sukar Ubah Minda Rakyat Di Luar Bandar


KUCHING, 21 November - Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan cabaran besar untuk mengubah minda dan meyakinkan masyarakat luar bandar bahawa perjuangannya lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berkata masyarakat luar bandar di Sarawak sudah biasa dengan logo BN dan tentunya memerlukan sedikit masa untuk menerima perubahan tersebut.

Dari segi undang-undang apabila GPS disahkan berdaftar secara rasmi katanya, lebih mudah komponen GPS seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bergerak ke akar umbi memberi penjelasan mengenai perbezaan agenda GPS dengan BN.

Tambahnya, lebih mudah juga aspek-aspek seperti objektif penubuhan dan perjuangan serta strategi GPS dijelaskan kepada rakyat Sarawak khususnya di luar bandar.

"Sejauh mananakah GPS mampu mengubah minda khususnya masyarakat luar bandar yang sudah biasa dengan logo BN?


"Ini merupakan cabaran besar kepada GPS untuk meyakinkan bahawa logo GPS dan perjuangan GPS lebih baik daripada BN dan PH sarawak," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kelulusan pendaftaran GPS oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menambah kelulusan pendaftaran GPS itu juga menunjukkan bermulanya era baharu untuk bergerak melalui wadah gabungan politik selepas keluar daripada BN.

Katanya, melalui saluran GPS, bekas parti komponen BN itu cuba bergerak dan mempertahankan kekuasaan pentadbiran negeri Sarawak yang dikuasai sekian lama.

"Melalui GPS, gabungan ini cuba menggunakan isu-isu tempatan seperti MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), royalti minyak, autonomi Sarawak untuk menarik undi rakyat Sarawak.

"Gabungan ini juga cuba membuktikan GPS ialah berasaskan parti politik tempatan untuk keperluan rakyat tempatan dan hanya parti tempatan sahaja lebih mengetahui masalah tempatan.

"Hal ini digunakan bagi berdepan PH pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan pada 2020 ini," katanya.

Awang berkata pengumuman Muhyiddin itu juga katanya menunjukkan ROS kini di bawah kerajaan baharu tidak mahu menyekat penubuhan GPS dan memberi peluang persaingan politik dalam 'padang yang sama rata'. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.