Header Ads

Header ADS

Udara Di Bahagian Kuching Tercemar


KUCHING - Bahagian Kuching mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 102 setakat jam 5 petang semalam, sedikit penurunan berbanding 107 pada jam 8 pagi.

Portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut melaporkan setakat jam 5 petang semalam, hanya Kuching mencatat bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara.

Sementara itu 11 lagi kawasan di Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana iaitu Samarahan (93), Sri Aman (90), Sarikei (84), Mukah (82), Sibu (67), ILP Miri (65), Miri (65), Bintulu (64), Samalaju (63), Limbang (60) dan Kapit (57).

Bacaan IPU 0-50 adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 pula tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Sehubungan itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian yang dihubungi semalam menasihati orang ramai khasnya yang berisiko tinggi agar mengambil langkah berjaga-jaga berikutan jerebu berlaku ketika ini.

Beliau berkata golongan berisiko berkenaan seperti pesakit jantung, asma, kanak-kanak dan ibu mengandung perlu mengurangkan aktiviti di luar rumah.

"Kalau boleh, elakkan aktiviti-aktiviti di luar rumah yang tidak perlu. Jika berada di luar rumah pastikan penutup hidung dan mulut dipakai.

"Langkah berjaga-jaga tambahan perlu diambil oleh mereka yang berisiko tinggi seperti mempunyai masalah paru-paru, penyakit jantung, ibu hamil dan kanak-kanak kecil," katanya.

Dr Sim turut menasihati orang ramai yang mengalami masalah jantung dan paru-paru agar mematuhi jadual pengambilan ubat seperti ditetapkan doktor masing-masing.

Katanya orang ramai mesti mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan jika mengalami masalah sesak nafas, sakit mata, batuk dan selesema.

"Pastikan pintu, tingkap dan titik pengudaraan di rumah ditutup (jika keadaan semakin teruk). Cuci muka dan tangan lebih kerap bagi mengelak sebarang jangkitan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih banyak minum air kosong serta mengelak pengambilan alkohol.

"Jika anda perlu melakukan aktiviti di luar, pastikan anda membawa bersama penutup hidung dan mulut, air secukupnya, titisan mata, tisu basah atau tisu biasa," tambahnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.