Header Ads

Header ADS

Tambang Perkhidmatan Feri Dihapuskan Tahun Depan - Abang Jo


KUCHING - Rakyat di negeri ini khasnya luar bandar bakal menikmati feri percuma, apabila kerajaan menghapuskan tambang perkhidmatan pada tahun 2019.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu yang kini sedang diteliti akan diumumkan pada suatu tarikh pada tahun depan.

"Kini kita sedang meneliti kemungkinan menghapuskan tambang feri, iaitu perkhidmatan percuma tahun depan.

"Saya telah mengarahkan Tan Sri Datuk Amar James Masing (Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan) untuk mengira berapa kosnya untuk dibayar (kepada pengusaha feri)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Bersama Media yang dihadiri dua Timbalannya, Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.

Abang Johari berkata, beliau akan mengumumkan tarikh berkenaan pada tahun depan.

"Kita akan hapuskan tambang perkhidmatan feri, yang bermakna ia percuma kepada rakyat dan ini memudahkan perjalanan masyarakat kita di luar bandar khasnya yang menggunakan feri," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini semasa di bawah pentadbiran bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan, semua tol di negeri ini telah dihapuskan.

Abang Johari berkata, sebagai pengganti kepada Tok Nan, beliau meneruskan polisi meringankan beban rakyat dengan memansuhkan tambang feri.

Pertemuan yang diadakan bersama media adalah sempena genap setahun beliau mengambil alih tampuk kepimpinan selepas menggantikan Allahyarham Tok Nan.

Katanya sepanjang tempoh itu sehingga kini, beliau telah melawat 187 kawasan di luar bandar dan mendapati antara isu paling kritikal adalah berkaitan bekalan air bersih.

"Saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan perkara ini bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat kita di luar bandar dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang.

"Kita telah memperuntukkan RM2 bilion dana Kerajaan Sarawak sendiri untuk menyelesaikan isu ini," katanya sambil memberitahu sementara bagi jangka panjang, kesemua kampung dan rumah panjang di luar bandar Sarawak akan disambungkan dengan air melalui grid daripada empangan.

Sementara itu menjawab pertanyaan media mengenai pembinaan jalan pesisir di negeri ini, bahagian pertama pembinaan dijangka akan bermula pada pertengahan tahun depan.

Tambahnya tender bagi projek berkenaan telah dikeluarkan.

"Tender bagi projek berkenaan sudah dikeluarkan dan menjelang pertengahan tahun depan, bahagian pertama projek jalan pesisir akan bermula," katanya.

Tambah beliau, projek jalan pesisir berkenaan termasuk pembinaan jambatan seperti Krian, Muara Lassa, Saribas, Kuala Paloh dan Batang Rajang, dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak.

Sementara tiga projek jambatan lain di jalan pesisir iaitu Rambungan, Igan dan Batang Lupar telah diluluskan semasa kerajaan persekutuan sebelum ini dan ia dibiayai separuh kerajaan negeri dan separuh kerajaan pusat. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.