Header Ads

Header ADS

SUPP Beri Sokongan Penuh Kepada Abang Jo Ketua GPS


KUCHING - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengetuai penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presidennya, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata ia antara 11 resolusi yang dipersetujui semasa Persidangan Delegasi Tahunan (ADC) SUPP 2018 dihadiri 404 perwakilan dari seluruh negeri di Dewan Sa'ati, Ibu Pejabat SUPP di sini hari ini.

Beliau berkata 10 lagi resolusi dicapai adalah menyelesaikan dan mengesahkan penerimaan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat parti untuk keluar, dan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

"Ketiga, kita menyelesai dan mengesahkan penubuhan GPS bersama PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), PDP (Parti Demokratif Progresif) dan PRS (Parti Rakyat Sarawak) dengan 10 syarat dipersetujui sebelum ini.

"Keempat, menggesa Kerajaan Negeri Sarawak mempertimbang peruntukan saham dalam Petros (Petroleum Sarawak Berhad) untuk semua rakyat Sarawak termasuk kelahiran baharu dan dividen diisytihar dengan bayaran dibuat secara tahunan kepada semua rakyat Sarawak, pihak berkepentingan," katanya pada sidang media sejurus selepas ADC 2018 berakhir kira-kira jam 5.30 petang tadi.

SUPP juga katanya menggesa Kerajaan Sarawak meminda Kanun Tanah Negeri bagi membolehkan pertukaran semua hak milik pajakan tanah kepada penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar juga tanah pertanian dimiliki individu kepada hak milik bebas, kekal, serta tidak kenakan sebarang premium dan kos-kos lain.

Resolusi keenam pula, katanya SUPP menggesa dan menyokong kerajaan negeri untuk memeruskan usaha mempertahankan hak-hak pemilikan Sarawak terhadap sumber minyak dan gas negeri ini.

Ketujuh, SUPP menyokong penuh usaha-usaha kerajaan negeri ketika ini untuk mengembalikan hak-hak Sarawak seperti termaktud di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mengikut Perlembagaan Sarawak juga Perlembagaan Persekutuan, katanya.

"Resolusi kelapan ialah menggesa kerajaan negeri menyediakan pengangkutan awam percuma di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan bandar lain di Sarawak secepat mungkin.

"Kesembilan, kita menggesa kerajaan negeri menyediakan RM2,000 kepada keluarga yang ada ahli keluarganya meninggal dunia dan RM2,000 untuk rakyat Sarawak yang baharu lahir," katanya.

Resolusi ke-11 kata Dr Sim ialah menggesa kerajaan negeri memperuntukan tanah pertanian yang sesuai untuk mereka yang benar-benar serius mengusahakan pertanian secara moden. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.