Header Ads

Header ADS

Shariff Kata Penubuhan BERSATU Cawangan Stampin Sebagai Gopoh Dan Memalukan


KUCHING - Penubuhan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Stampin baru-baru ini adalah memalukan dan tergopoh-gapah.

"Memalukan. Melakukan sesuatu perkara harus lebih teliti dan cermat dan tidak tergopoh-gapah," kata Shariff Busrah yang menggelar dirinya sebagai ketua penaja BERSATU Sarawak kepada Utusan Borneo hari ini.

Pada malam Ahad lepas, Johan Mohamad melancarkan jawatankuasa penaja BERSATU Bahagian Stampin.


Shariff enggan bekerjasama dengan mana-mana jawatankuasa penaja BERSATU di Sarawak selagi belum mendapat kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi.


Susulan hasrat Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membuka cawangan di negeri ini, muncul beberapa jawatankuasa penaja yang dipelopori Johan, Affendi Jeman dan Shariff.

Menerusi kenyataan media semalam, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Dr Shahruddin Salleh berkata penubuhan cawangan di Sarawak kini sedang dalam proses menimbang dengan terperinci mengenai hasrat itu.

Fasal 11, Perlembagaan BERSATU menetapkan kuasa meluluskan penubuhan Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan terletak sepenuhnya pada Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

"Bagi Sarawak, Majlis Pimpinan Tertinggi belum meluluskan penubuhan Badan Pimpinan Negeri mahupun mana-mana bahagian serta cawangan di negeri itu," katanya.

Dr Mahathir katanya sebelum ini secara prinsip bersetuju dengan penubuhan, namun pelaksanaannya masih diperhalusi pucuk pimpinan.

"Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penubuhan BERSATU untuk Sarawak bagi memperhalusi perkara ini," katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.