Header Ads

Header ADS

Setakat Ini 9 Individu Telah Direman Berkaitan Kes Tuntutan Palsu BTN Sarawak


KUCHING - Kes tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah kira-kira RM600,000 membabitkan Biro Tatanegara (BTN) Sarawak menyaksikan seramai sembilan individu telah direman setakat semalam bagi membantu siasatan.

Permohonan reman itu dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret di sini.

Terbaharu, dua suspek melibatkan seorang pegawai kanan lelaki, 37, dan seorang pegawai wanita, 36, direman enam hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar membenarkan tahanan reman itu yang dipohon SPRM Sarawak melalui Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi semalam. Suspek lelaki ditahan SPRM pada jam 7.11 malam kelmarin, manakala suspek wanita ditangkap pada jam 5.07 petang hari yang sama.


Majistret Syukri turut memerintahkan suspek lelaki dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan jika perlu sepanjang tempoh reman.

Pada Rabu lepas, pasangan suami isteri juga direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.


Pasangan berusia 47 dan 53 tahun itu merupakan individu yang ditahan SPRM selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang mana mereka merupakan antara pemilik salah sebuah syarikat yang dikesan.

Pada 25 Julai lalu, lima individu termasuk dua penolong pengarah kanan BTN dan seorang pesara ditahan reman kerana dipercayai terlibat dengan penyelewengan tuntutan melibatkan 43 syarikat tempatan.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, sumber SPRM Sarawak mendedahkan, seramai 15 individu telah ditangkap sehingga kelmarin, sembilan daripadanya ditahan reman, manakala enam dibebaskan.

“Individu yang tidak ditahan reman dibebaskan setelah kenyataan mereka direkodkan dan SPRM percaya mereka tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” kata sumber SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, pihaknya telah menahan 10 individu termasuk empat pegawai dan kakitangan BTN kerana disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah kira-kira RM600,000 sejak 31 Julai 2018 hingga kelmarin.

Kesemua suspek iaitu empat lelaki dan enam wanita yang berusia antara 30 dan 53 tahun itu ditahan antara jam 3 petang hingga 7 malam di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber SPRM, pegawai dan kakitangan BTN tersebut dipercayai telah bersubahat dengan 43 syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

Salah seorang daripada pemilik syarikat dipercayai ‘runner’ bagi beberapa syarikat lain.

Tambah sumber SPRM, kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada 2016 dan dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka.

“Siasatan awal juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut,” ujarnya.

Tegas sumber SPRM lagi, pihaknya kini dalam proses mengesan kesemua pemilik syarikat yang terlibat di seluruh Sarawak.

Sehingga kini, sembilan pegawai BTN dan enam pemilik syarikat telah ditangkap serta lebih kurang 138 saksi melibatkan 20 syarikat seluruh Sarawak telah dirakam kenyataan.

Katanya, kesemua suspek ditangkap bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.