Header Ads

Header ADS

Janji 100 Hari Kerajaan PH - Retorik Atau Palsu


KUCHING - Tempoh 100 hari untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan 10 daripada janji apabila mentadbir kerajaan semakin hampir tiba ke penghujung.

Namun yang jelas, janji-janji tersebut sukar untuk dilaksanakan kerana ia terlalu idealis dan impian besar yang sukar dicapai dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan perkembangan politik semasa, Pakatan Harapan (PH) berdepan dengan risiko kegagalan dalam manifesto Buku Harapan dalam tempoh 100 hari.

Ini kerana janji-janji yang dikemukakan tersebut bersifat populis dan kurang strategi pelaksanaan sekali gus menunjukkan ia hanya bertujuan memancing pengundi tanpa mengambil kira aspek realistik.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sebagai sebuah pakatan politik, yang penting bagi PH ialah merampas Putrajaya.

Setakat ini hanya dua janjinya iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus bermula 1 Jun lalu dan penangguhan pembayaran PTPTN telah dilaksanakan.

Namun rangkaian manifesto disejajarkan dalam manifesto pertama iaitu mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif tidak ada lagi petunjuk awal ia dilaksanakan.

Begitu juga dengan penangguhan pembayaran semula pinjaman namun peminjam masih dikehendaki membayar balik pinjaman walaupun gaji masih kurang RM4,000 sehinggalah selepas kajian yang lebih teliti dijalankan.

“Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa hanya dua daripada 10 janji telah dilaksanakan namun dua janji pilihan raya ini belum lagi mencapai tahap memuaskan dari segi memberikan kesejahteraan dan impak dalam kehidupan rakyat.

“Beliau mengakui enam janji lagi dalam proses pelaksanaan tetapi tidak pula dijelaskan secara mendalam di Dewan Rakyat dengan dua janji lagi belum dilaksana,” katanya kepada Utusan Borneo.

Tambah Awang Azman, manifesto untuk memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah sukar dilaksanakan dalam tempoh 100 hari secara menyeluruh kerana baharu di peringkat konsep dan kajian oleh Timbalan Perdana Menteri.

Begitu juga manifesto untuk menyamaratakan gaji minimum tidak akan dilaksanakan dalam masa singkat kerana akan menyebabkan kemarahan golongan majikan.


Ini bermakna proses ini berlaku separuh jalan dan hanya akan dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan PH juga berjanji untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Bagaimanapun setakat ini tidak ada pertemuan khusus dilaporkan dan tidak diketahui pula perkembangan atau status keputusan dalam jawatankuasa tersebut,” tambah Awang Azman.

Kini Pakatan Harapan berada dalam beban tanggungjawab dan amanah untuk menunaikan 10 perkara dalam 100 hari pentadbiran mereka yang tidak semudah dilaksanakan apabila sudah berada dalam kerajaan.

Untuk melaksanakan janji-janji ini ia sebenarnya memerlukan proses yang kompleks dan berperingkat dan tidak kurang juga soal undang-undang, pindaan dan akta undang-undang baharu.


Sedangkan tindakan kerajaan PH kebanyakannya baharu di peringkat kajian semula dan penilaian.

“Tindakan memutuskan untuk menangguhkan sementara inisiatif janji 100 hari PH bukanlah suatu tindakan popular atas apa-apa jua alasan.


“Sekurang-kurangnya kini rakyat sudah mempunyai angkubah untuk dijadikan perbandingan dalam menentukan hayat sama ada memilih Pakatan Harapan atau Barisan Nasional mahupun pakatan lain yang akan terbentuk pada pilihan raya ke-15 pada pilihan raya umum 2022. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.