Header Ads

Header ADS

Ubah Dahulu Sistem Pendidikan Negara Sebelum Menurunkan Had Umur Mengundi 18 Tahun


KUALA LUMPUR - Cadangan menurunkan had umur mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kepada 18 tahun perlu diteliti secara mendalam memandangkan sistem pendidikan negara yang tidak mendedahkan pelajar dengan aspek demokrasi secara menyeluruh.

Sebaliknya, sistem pendidikan sekarang belum cukup untuk menjadikan remaja seusia itu matang dalam memilih kepimpinan negara.

Pandangan berkenaan disuarakan sendiri oleh seorang mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Fatihah Mohd. Nizam, 22, yang mencadangkan supaya sistem pendidikan negara diubah terlebih dahulu sebelum menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Secara peribadi, ketika zaman persekolahan pun saya tidak didedahkan dengan sistem politik negara. Jadi apabila habis sekolah saya lebih memikirkan hendak sambung belajar di universiti mana,” katanya ketika ditemui Utusan Online semalam.

Sementara itu, seorang lagi mahasiwa IPTA, Nur Hanis Syahirah Ismail, memberitahu, tidak ramai remaja pada usia itu betul-betul memahami sistem politik negara.

“Tidak ramai remaja yang ingin memahami dengan lebih mendalam tentang arena politik di Malaysia dan cuma mendapat maklumat daripada media dan orang sekeliling,” ujarnya.

Walaubagai manapun, Ahli Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas), Mohd. Amirul Shafiq Mohd. Aznan, berpendapat cadangan berkenaan memberi pendedahan kepada remaja terhadap sistem demokrasi dan politik negara.

“Mungkin ramai yang tidak setuju, tetapi ini memberi peluang kepada remaja untuk menyumbang kepada negara dan mendedahkan mereka tentang makna demokrasi yang sebenar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu akan membawa cadangan merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun dalam mesyuarat Kabinet dan Parlimen.


Beliau sebelum itu, telah bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meneliti pindaan undang-undang yang perlu dilakukan. - UTUSAN ONLINE

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.