Perbezaan Politik Tidak Halang Hubungan Baik PH Dan GPS Di DUN Sarawak
KUCHING - Perbezaan idealogi politik tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak akan menghalang hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg telah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Justeru, ADUN PH juga akan mengambil semangat yang sama dalam DUN Sarawak demi kepentingan rakyat Sarawak.
“Meskipun dari segi politiknya sekarang ini mungkin pada tanggapan awam akan berlaku kesukaran di mana dalam DUN Sarawak ada pembangkang daripada PH.
“Tetapi, jaminan yang kami berikan kepada Ketua Menteri Sarawak adalah untuk tidak menjadikan perbezaan politik ini sebagai halangan untuk memperkukuhkan hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Ini kerana pihak Sarawak telah memberikan satu kenyataan bahawa mereka akan menyokong PH di Parlimen, jadi ADUN PH juga akan mengambil semangat yang sama dalam DUN Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri di Aras 5, Kompleks DUN di sini, semalam.
Terdahulu semasa kunjungan tersebut, Salahuddin berkata beliau dan Ketua Menteri banyak membincangkan tentang hubungan dua hala antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Menerusi pertemuan mereka, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yakin dalam era baharu PH ini banyak isu dan perkara dapat diselesaikan bersama.
Beliau turut menjelaskan kunjungan beliau ke Sarawak bertujuan untuk mempertingkat dan memperkukuhkan hubungan di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Perbezaan pendapat katanya, tidak menjadi masalah tetapi yang penting ialah rakyat mendapat manfaat daripada era baharu kerajaan PH dan hubungan baik yang ditunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Abang Zohari. -Utusan Borneo Online
No comments