Header Ads

Header ADS

Mahasiswa Universiti Awam Bantah Pengiktirafan UEC


KUALA LUMPUR - Lebih 200 mahasiswa daripada pelbagai universiti awam berhimpun di hadapan Kompleks Sogo di sini bagi menzahirkan bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Perhimpunan itu anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) bermula di Masjid Negara dan sepatutnya berarak ke Kompleks Sogo, namun dihalang anggota polis daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kira-kira jam 2 petang tadi.
Pihak polis kemudian membenarkan kumpulan itu berhimpun di Sogo, namun tiada perarakan dibenarkan dari Masjid Negara ke pusat beli belah berkenaan.
Presiden GAMIS, Faizuddin Mohd Zai, berkata pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dibuat memandangkan sistem pendidikan kebangsaan masih relevan.
"Kami akan mengadakan jelajah di seluruh negara termasuk mengumpul petisyen di kampus untuk dihantar kepada menteri," katanya ketika ditemui di pusat beli belah itu, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata seramai 65 pegawai dan anggota dikerahkan bagi mengawal perhimpunan yang berlangsung selama tiga jam sebelum bersurai kira-kira jam 5 petang tadi.
"Tiada individu yang ditahan ketika perhimpunan berlangsung dan peserta mengikut arahan pihak polis.
"Kami akan lihat tujuan perhimpunan ini diadakan sebelum tindakan lanjut dibuat," katanya ketika dihubungi, di sini.
UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.
Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH). -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.