Header Ads

Header ADS

GPS Tidak Sama Seperti BN Dan Bukan 'Tukar Baju'


KUCHING - Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Julaihi Narawi menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan Sarawak hanya menukar baju sahaja tetapi mengamalkan cara yang lama.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwakili parti yang berasal dari Sarawak sahaja.

“Ada segelintir pihak menuduh kita hanya menukar baju kerana dahulu kita adalah Barisan Nasional (BN) dan kini GPS.

“Pada saya, tuduhan itu tidak betul kerana dahulu kita BN iaitu gabungan parti di peringkat pusat, tetapi GPS diwakili parti asal dan beroperasi di Sarawak.

“Itu bezanya dan sudah pasti pengerusi kita (GPS) memang dari Sarawak dan bukan dari Kuala Lumpur,” ujarnya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Gawai 2018 DUN Stakan di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu, Julaihi yang juga Menteri Muda Jalan Pesisir berkata, GPS mempunyai autonomi dalam politik iaitu mempunyai kuasa dalam membuat keputusan di peringkat negeri.

Semasa dalam gabungan BN dahulu jelasnya, sebarang keputusan mesti dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan di peringkat nasional atau pusat memandangkan pengerusi gabungan itu bukan dari Sarawak.

“Ini bermakna, sebarang keputusan kita semasa dalam gabungan BN terikat dengan kata putus dari peringkat pusat. “Inilah perbezaan bukan seperti mana tuduhan segelintir pihak bahawa kita hanya menukar baju,” katanya.

Berhubung isu sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu sebaliknya berasakan Pakatan Harapan yang menukar baju kerana cara mereka sama dengan BN.

“Gabungan PH merupakan satu gabungan peringkat nasional yang sama dengan BN.

“Ini yang harus kita katakan sebagai menukar baju terutamanya pengerusi mereka adalah orang sama yang pernah menjadi pemimpin BN pada satu ketika dahulu,” kata Julaihi.


Tambah beliau, dalam usaha Sarawak melangkah maju ke hadapan, kerajaan sedia ada harus meninggalkan BN serta menubuhkan GPS.

“Saya percaya GPS akan menekankan lagi kepentingan serta hak Sarawak di mana kita memberi komitmen 100 peratus dalam perkara itu,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, ADUN Stakan Dato Sri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang serta yang lain.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.