Washington Saman Facebook Dan Google
SAN FRANCISCO - Sebuah negeri di Amerika Syarikat (AS), Washington berkata semalam, ia bertindak menyaman Facebook Inc dan Google milik Alphabet Inc kerana melanggar undang-undang kempen kewangan negeri selepas gagal mengemukakan pembeli iklan pilihan raya.
Peguam Negara, Bob Ferguson memuat naik salinan kertas saman di laman web miliknya dan mengatakan beliau bakal mengenakan tindakan terhadap syarikat terbabit dan injuksi kerana gagal mengemukakan perbelanjaan iklan negeri sejak 2013.
Susulan itu, Facebook berkata mereka berharap dapat menyelesaikan tuntutan itu dengan cepat selepas memperkenalkan aplikasi untuk orang ramai melihat siapa yang membeli iklan politik di rangkaian sosial itu.
Wakil Google pula gagal dihubungi untuk mendapatkan komen. Seperti Facebook, Google juga berikrar untuk mewujudkan arkib dalam talian untuk mana-mana iklan yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Facebook dan Google berdepan kritikan daripada ahli parlimen, pengguna dan penyokong peraturan kewangan kempen untuk peranan mereka dalam menjual iklan politik selepas Russia didakwa menggunakan pengenalan palsu untuk membeli iklan dalam usaha mempengaruhi pengundi Amerika Syarikat ketika pilihan raya presiden 2016. - Reuters
No comments