Usain Bolt Hilang Emas Olimpik Beijing Gara-Gara Rakan Sepasukan Positif Dadah
PARIS - Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), hari ini, menolak rayuan pelari pecut Jamaica, Nesta Carter yang positif ujian doping pada temasya Olimpik Beijing 2008.
Keputusan berkenaan sekali gus menyebabkan rakan sepasukannya dalam acara 4x100 meter (m) termasuk bintang pecut dunia, Usain Bolt kehilangan pingat emas.
Carter, adalah salah seorang daripada kuartet 4x100m yang berjaya membantu Jamaica menang emas di Beijing bersama-sama Bolt, Michael Frater dan Asafa Powell.
Dia mendakwa berlaku kecuaian selepas ujian untuk bahan perancang methylhexanamine berakhir positif ketika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan untuk menguji semula sampel secara retroaktif dari Sukan Olimpik 2008.
Pada tahun 2017 Carter berusaha untuk mencabar keputusan IOC dengan mengemukakan rayuan di CAS dan jika berjaya, ia akan menyaksikan Bolt yang baharu mengumumkan persaraannya dari sukan berkenaan kekal dengan 10 pingat emas Olimpik.
Bagaimanapun, keputusan terbaharu itu bakal menyaksikan Bolt menamatkan kariernya di balapan dengan sembilan pingat emas Sukan Olimpik.
"Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) menolak rayuan yang dibuat oleh pelari Jamaica, Nesta Carter terhadap keputusan yang dikeluarkan pada 25 Januari 2017 oleh Panel Tatatertib Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC DP) di mana dia didapati bersalah melakukan pelanggaran peraturan anti-doping semasa Olimpik 2008 Beijing.
"Oleh itu, keputusan IOC DP untuk membatalkan penyertaan Nesta Carter dan pasukan kuartet 4x100m lelaki, Jamaica daripada perlumbaan yang diadakan di Beijing di mana mereka meraih kemenangan pingat emas." - AFP
No comments