Header Ads

Header ADS

Tiada Halangan PPBM Melebarkan Sayapnya Ke Sarawak


KUCHING - Sarawak tidak menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Perdana Menteri Tun Mahathir melebarkan sayapnya ke negeri ini.
Ini ditegaskan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu di Damai, Santubong di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan tetamu kehormat lain. 
"Kalau Tun (Tun Mahathir) hendak melebarkannya, itu keputusan parti dialah. Ini kerana kita pun ada parti (komponen Pakatan Harapan) yang lain ada sayap di sini.
"Dari sudut Sarawak sendiri memanglah kita akan bekerjasama dalam konteks parti-parti Sarawak,” katanya.
Abang Zohari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menafikan perkara tersebut ada dibincangkan di dalam pertemuan khas bersama Tun Mahathir di Putrajaya, Ahad lepas. 
“Kita hanya meraikan hari raya, bercakap tentang makanan (juadah raya),” tambahnya.
Perkara ini diakui Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut sama di majlis berkenaan.
Bagaimanapun, Abang Zohari menjelaskan beliau masih belum mengetahui perkara sebenar tentang perkara tersebut dan hanya mendengar daripada media. 
“Kita tidak tahu lagi, butiran tentang perkara ini tidak ada, mungkin tersalah ‘quote’, kita tidak tahu,” katannya.
Sebelum ini, ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), bermula daripada zaman Tun Abdul Taib Mahmud, diikuti Tan Sri Adenan Satem dan Abang Zohari sendiri, mereka tidak membuka ruang kepada UMNO untuk membuka cawangan di Bumi Kenyalang. 
Tetapi, kini dengan keadaan politik yang dah berubah dan berbeza, Sarawak terpaksa menerima kehadiran parti-parti politik dari luar ini seperti UMNO dan PPBM melebarkan sayapnya ke Sarawak. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.