Header Ads

Header ADS

Sarawak Akan Kuatkuasa Aktiviti Minyak Dan Gas Bermula 1 Julai Ini


KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak akan menguatkuasakan undang-undang negeri dalam mengawal selia berkaitan aktiviti minyak dan gas bermula 1 Julai hadapan seperti diumumkan sebelum ini.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut diteruskan setelah Mahkamah Persekutuan menolak petisyen dibuat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terhadap Kerajaan Negeri Sarawak bagi mendapat perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum  (PDA) 1974, terpakai bagi mengawal selia industri petroleum di Malaysia, termasuk Sarawak.

"Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik kerajaan negeri akan diberikan kuasa berkaitan bagi mengawal selia mengikut Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak.

"Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan undang-undang negeri dan seluruh penduduk Sarawak atas sokongan padu serta doa bagi kita melaksanakan hak perlembagaan berkaitan aktiviti minyak dan gas di negeri ini," jelas kenyataan itu.

Keputusan petisyen itu diumumkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop selepas menolak permohonan syarikat minyak nasional itu yang dikemukakan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan bahawa syarikat itu memiliki kuasa eksklusif untuk mengawal selia aktiviti huluan dalam industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.


Petronas memohon penjelasan berhubung hak dan kedudukannya dalam pengendalian industri minyak dan gas seperti yang termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.-UTUSAN ONLINE

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.