Ramesh Lai Dijangka Terlepas Aksi Menentang MISC-MIFA Sabtu Ini
KUCHING - Pemain pertahanan Sarawak, Ramesh Lai berdepan kemungkinan direhatkan pada perlawanan Liga Premier menentang MISC-MIFA di laman lawan pada 9 Jun (Sabtu ini).
Ini berikutan pemain berpengalaman itu mengalami kecederaan hidung ketika menjalani latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.
Pengurus skuad Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed ketika mengesahkan perkara itu memberitahu situasi terbaharu itu meletakkan Sarawak dalam keadaan sukar dalam misi mereka untuk meraih mata pada perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
“Kita masih menilai kecederaan Ramesh, jika keadaannya masih tidak mengizinkan beliau terpaksa diketepikan pada perlawanan menentang MISC- MIFA nanti,” katanya di sini semalam.
Menurut Awang Mahyan, situasi itu agak mengecewakan kerana Sarawak berhasrat untuk menurunkan barisan terbaik menghadapi pihak lawan yang sukar.
Bagaimanapun, beliau tetap menaruh kepercayaan di bahu barisan pemain simpanan yang ada untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Ketua Jurulatih, Ian Andrew Gillan bagi meconggakkan strategi berbeza untuk menangani masalah itu sambil memberi bayangan kesebelasan utama juga sedikit berubah mengikut kesesuaian yang diperlukan.
“Kita masih mempunyai beberapa pemain simpanan yang berkebolehan untuk mengambil alih tugas Ramesh dan perlawanan ini cukup penting dan kalau boleh kita tidak mahu keciciran mata,” katanya.
Sarawak kini menghuni tangga ketujuh dengan mengutip 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga kali seri daripada 13 perlawanan yang diharungi setakat ini. -Utusan Borneo Online
No comments