Header Ads

Header ADS

Polis Tahan 3 Suspek Dalam Kes Penculikan Seorang Lelaki Tempatan


MIRI - Polis menahan tiga suspek kes penculikan seorang lelaki tempatan di sebuah premis perniagaan di Coco Cabana, Marina Bay pada 11.30 malam Khamis lepas.

Ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah berkata tiga lelaki tempatan berumur 36, 39 dan 46 tahun itu ditahan pada Jumaat iaitu dua daripadanya pada 3 pagi dan seorang lagi pada 3 petang.

"Majikan mangsa penculikan telah membuat laporan polis pada Khamis tentang kejadian tersebut dengan menyatakan mangsa telah secara paksa dibawa lari dari tempat bekerja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lim berkata polis yang segera melancarkan operasi berjaya menemukan mangsa berumur 36 tahun bekerja sebagai juruteknik sistem bunyi itu yang ditinggalkan di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini dalam keadaan selamat.

"Siasatan awal mendapati motif culik dipercayai berpunca bekas majikan mangsa menuduh mangsa menyeleweng duit syarikat sebelum berhenti kerja untuk bekerja dengan majikan baharu," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga Selasa ini untuk siasatan. - BERNAMA

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.