Pelabur Asing Jual Ekuiti Bernilai RM5.6 Bilion Selepas Pakatan Harapan Ambil Alih Kerajaan
KUALA LUMPUR - Pelabur asing menjual dana ekuiti bernilai RM5.6 bilion daripada Bursa Malaysia sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu, sekali gus menjadikan Mei sebagai bulan tertinggi mencatat aliran keluar setakat tahun ini.
Menurut MIDF Research, pelabur asing menjual ekuiti negara ini secara berterusan bagi minggu kelima berturut-turut iaitu tempoh jualan yang paling lama direkodkan setakat ini.
“Pada minggu lalu, penjualan ekuiti negara oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berjumlah RM1.27 bilion berbanding RM892.4 juta yang dilupuskan pada minggu sebelumnya.
“Dengan jualan asing pada setiap hari dalam seminggu, jualan ekuiti kini sudah 19 hari berturut-turut. Tempoh paling lama adalah 21 hari pada Mei hingga Jun 2015,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Jualan bersih ekuiti Malaysia pada Isnin berjumlah RM216.5 juta, satu paras yang disifatkan masih normal buat masa ini.
Namun, aliran keluar dana asing dari negara ini sebanyak RM609.2 juta pada Rabu lalu adalah yang tertinggi sejak 15 Mei berikutan pembatalan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
MIDF mengakui bahawa penjualan ekuiti berskala besar itu seiring dengan trend di negara Asia seperti Korea Selatan, Filipina dan Taiwan ekoran pergolakan politik di Itali dan Sepanyol.
Pada Rabu lepas, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 56.56 mata atau 3.18 peratus untuk ditutup kepada 1,719.28 mata, paras terburuk yang dicatatkan sejak 2008.
Kebanyakan penganalisis ekonomi menyifatkan situasi itu pada dasarnya adalah normal.
Menjelang September, penganalisis mengunjurkan akan ada lantunan semula beransur-ansur dalam pasaran, apabila keyakinan pelabur dijangka kembali semula ke negara ini sebaik sahaja Kabinet baharu menggariskan dasar-dasarnya.
Sementara itu, mata wang Ringgit didagang tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika awal sesi dagangan hari ini memandangkan minat pelabur beralih daripada mata wang negara maju itu disebabkan ketidaktentuan terhadap risiko politik berpotensi.
Pada 9.09 pagi, unit tempatan disebut pada 3.9750/9800 berbanding dolar AS daripada 3.9770/9800 waktu ditutup pada Jumaat.
Peniaga berkata, pelabur mengambil sikap berhati-hati terhadap dolar AS dan ketidaktentuan menjelang sidang kemuncak AS-Korea Utara minggu depan dan situasi ini akan terus mengehadkan peningkatan dolar AS, dengan pelabur mengabaikan penyusutan sektor pembuatan Malaysia.
“Menurut kajian Nikkei, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia susut kepada 47.6 pada Mei daripada 48.6 yang direkodkan pada April,” katanya. -Utusan Online
No comments