Header Ads

Header ADS

Peguam-Peguam Sarawak Teliti Semua Perkara Berbangkit Berkaitan Hak Sarawak Di Bawah MA63


KUCHING - Pasukan petugas perundangan akan meneliti semua perkara berbangkit berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 
Presiden Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) Ranbir Singh berkata, bagaimanapun jangka masa menyelesaikan tugas berkenaan bergantung kepada isu yang dibangkitkan. 
“Pasukan petugas akan meneliti semua perkara berbangkit dan akan menangani isu secara berperingkat. 
“Pasukan ini malahan sudah dapat ditubuhkan esok (hari ini) sebagai langkah segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di sini, semalam. 
Ranbir antara peguam tanpa mengira latar belakang politik dari seluruh Sarawak yang mengadakan pertemuan dengan ketua menteri ekoran daripada permohonan Petronas di Mahkamah Persekutuan. 
Pada Isnin lepas, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia. 
Petronas dalam satu kenyataan berkata, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak. 
Mengulas lanjut mengenai pasukan petugas, Ranbir berkata ia ditubuhkan AAS bagi membantu kerajaan negeri dalam meneliti semua perkara berkaitan hak Sarawak di bawah MA63 termasuk minyak dan gas. 
Beliau berkata sekurang-kurangnya 10 peguam berpengalaman dalam isu berkaitan akan menganggotai pasukan petugas itu. 
“Secara umumnya, Persatuan Peguambela Sarawak bersedia untuk membantu bagi melindungi semua hak negeri. 
“Kita akan menanganinya dan berkomunikasi dengan Peguam Negeri Sarawak. Para peguam akan menjalankan tugas secara percuma demi memperjuangkan hak Sarawak” katanya. 
Malahan Ranbir menegaskan, beliau yakin dengan pasukan petugas kerana mereka semua mempunyai pengalaman hebat dalam bidang berkenaan. 
“Kami akan melakukan yang terbaik dan tetap bertegas dengan pendirian serta kepercayaan kami,” katanya sambil memberitahu bahawa semua peguam menjalankan tugas mereka tanpa bayaran. 
Sementara itu Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika ditemui berkata, ketua menteri bersetuju dan menyambut baik usaha AAS untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperjuangkan haknya. 
“Apa yang kita lihat hari ini tiada kaitan dengan politik di mana semua kita bersatu menyokong ketua menteri dalam perkara ini. “Misalnya para peguam daripada PKR turut bersama, menggambarkan perpaduan dalam kalangan kita. 
“Pada masa yang sama kita mengalu-alukan rakyat Sarawak yang mahu memberi pandangan perundangan kepada kita, kerana kita mahu golongan bijaksana perundangan bersama kita,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.