Header Ads

Header ADS

Masing Dikecam Dan Disifatkan Sebagai Tidak Bertanggungjawab


KUCHING - Tindakan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang mencadangkan agar kerajaan Sarawak membelanjakan rizab RM31 bilion untuk membangunkan prasarana dalam tempoh tiga tahun iaitu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), mendapat bantahan banyak pihak di negeri ini.

Cadangan yang dinyatakan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) semasa ucapannya dalam Majlis Ngilai Tikai Sempena Perayaan Gawai Dayak 2018 anjuran PRS di sini pada malam Ahad lalu, disifatkan tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

Dalam ucapannya, James Jemut atau lebih dikenali sebagai James Masing menyatakan rizab negeri Sarawak berjumlah RM31 bilion sepatutnya dibelanja oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang untuk `memenangi hati rakyat Sarawak’ bagi memastikan parti itu dapat terus berkuasa selepas PRN Ke-12.

Namun, cadangan itu ditentang oleh banyak pihak termasuk pemimpin beberapa parti kerana mengetahui rizab kerajaan negeri adalah milik rakyat Sarawak, bukannya mana-mana parti politik yang memerintah termasuk GPS, iaitu parti baharu yang dibentuk oleh empat bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) terdiri daripada PRS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Sekretariat Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pusat dalam kenyataan berkata, rizab negeri telah diwujudkan selama beberapa dekad dan disimpan bagi memastikan keselamatan kewangan untuk generasi masa depan.

“Banyak pihak menyifatkan saranan itu tidak bertanggungjawab, malah tidak masuk akal. Rakyat menyifatkan Presiden PRS itu semakin mengarut. Adakah itu cara berfikir seorang Timbalan Ketua Menteri?.

“UPP tidak bersetuju dengan saranan yang tidak bertanggungjawab itu. Ia cadangan tidak masuk akal, tidak sepatutnya datang daripada mana-mana pegawai negeri, apatah lagi Timbalan Ketua Menteri,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden UPP yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataan berasingan berkata, kementerian turut menolak saranan James Masing kerana kerajaan negeri sentiasa berhemat dalam membelanjakan simpanannya.

Katanya, adalah tidak bertanggungjawab untuk kerajaan membelanjakan RM31 bilion dalam tempoh tiga tahun hanya untuk memenangi hati rakyat Sarawak atau memenangi pilihan raya negeri supaya kekal berkuasa.

Tambahnya, mengekalkan kredibiliti kewangan yang kukuh amat penting bagi mendapatkan keyakinan pelabur, sektor perbankan dan agensi penarafan.

Turut membantah cadangan tersebut ialah Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang menempelak Timbalan Ketua Menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

“Cadangan beliau ini, jelas bukan demi kepentingan rakyat tetapi berkaitan dengan hidup politiknya. Mungkin sebab itu, beliau menawarkan cadangan yang dianggap paling `bijak’ untuk GPS.

“Rizab itu milik rakyat Sarawak dan bukannya untuk GPS habiskan sesuka hati. Mereka sepatutnya menguruskan dana ini bagi manfaat rakyat, bukan kepentingan populariti mereka (GPS),” ujar beliau dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Selanggau itu berkata, sekiranya cadangan itu diterima oleh kerajaan negeri, ia akan menyebabkan berlaku pelaksanaan projek yang tidak diperlukan, pembaziran dan ketirisan kerana dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. - UTUSAN ONLINE

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.