Header Ads

Header ADS

Mahkamah Bebaskan Pengacara Dan Penerbit Sukan Tak Sentral Atas Tuduhan Hina Watson Nyambek


SIBU - Mahkamah Majistret di sini petang semalam membebas serta melepaskan pengacara dan penerbit rancangan Sukan Tak Sentral daripada tuduhan menghina bekas pelari pecut negara Watson Nyambek. 
Majistret Saiful Sayoti membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa raya gagal membukti kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh pada akhir perbicaraan kes. 
Pengacara rancangan Sukan Tak Sentral Azizul Ammar Abu Hassan, 31, dan penerbit rancangan Abdul Ghani Mokhtar, 42, kelihatan berpelukan antara satu sama lain di dalam kandang tertuduh sebaik keputusan itu dibacakan. 
Kedua-dua mereka diwakili peguam Orlando Chua, sementara pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah. 
Mengikut pertuduhan sebelum ini, Azizul Ammar dan Abdul Ghani didakwa menghina Watson pada 22 Mei, 2017, kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Wong King Huo. 
Dalam rancangan yang disiarkan itu, Azizul Ammar ketika menyebut nama ‘Watson Nyambek’ seakan menyamakan bapa Watson, yang meninggal dunia tiga tahun lepas, dengan binatang. 

Sehubungan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.