Header Ads

Header ADS

Kesalahan Tiada Lesen Memandu Catat Saman Terbanyak Dalam Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2018


KUCHING - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah memeriksa 8,527 kenderaan dan sejumlah 651 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang dua minggu Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2018 yang berakhir Ahad lepas. 
Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah saman terbanyak iaitu 267 kes, diikuti kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (110 kes) dan lesen memandu tamat tempoh sebanyak 86 kes. 
“Terdapat juga kesalahan-kesalahan lain yang turut dikeluarkan saman termasuk kesalahan memotong di garisan berkembar (52 kes), lesen memandu tamat tempoh, keadaan tayar yang ‘botak’ serta lebih muatan. 
“Sementara itu, sebanyak 256 notis telah dikeluarkan iaitu termasuk notis larangan penggunakan kenderaan sebanyak 109 kes, notis temu siasat sebanyak 57 kes, notis arah timbang sebanyak 55 kes, notis arah periksa kenderaan (22 kes) dan notis LPKP sebanyak 13 kes,” katanya. 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung operasi tersebut yang bermula sejak 8 Jun lalu, di sini semalam. 
Selain itu, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap beberapa kenderaan barangan yang ingkar arahan tempoh larangan penggunaan dua hari sebelum perayaan dan dua hari sebelum operasi tamat. 
“Bagi sebelum perayaan (13 dan 14 Jun), sejumlah 20 saman dikeluarkan iaitu tiga untuk lori mengangkut batu, tanah dan pasir dan 20 lagi untuk pelbagai lori. 
“Manakala pada 23 dan 24 Jun pula, hanya tiga saman dikeluarkan masing-masing untuk lori jenis low-loader dan pengangkutan kenderaan serta lori jenis timber- jinker,” katanya. 
Shafiq selain itu turut memberitahu, antara objektif pelaksanaan operasi khas tersebut adalah untuk memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dalam keadaan cermat untuk sampai ke destinasi dengan selamat. 
“Melalui operasi seperti ini diharapkan agar dapat mempertingkatkan ‘Perception Of Being Cought’ kepada semua pengguna jalan raya. 

“Selain itu, diharapkan juga ia dapat membudayakan pemanduan berhemah dan selamat oleh pengguna jalan raya dan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.