Header Ads

Header ADS

Kerajaan Umum Gaji Minima Sektor Swasta Ogos Ini


PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum baharu sektor swasta selewat-lewatnya Ogos ini selepas selesai proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah selesai menjalankan kajian itu sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Katanya mesyuarat MPGN itu juga akan mempertimbangkan syor kadar gaji minimum dan perkara lain yang berkaitan bagi menepati janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Selepas mesyuarat, kementerian akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi suatu keputusan dibuat kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia, hari ini.

Kulasegaran berkata pihaknya juga telah membincangkan 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari kerajaan PH termasuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara.

“Saya dimaklumkan JTPGN bersedia membentangkan syor kadar gaji minimum baharu kepada MPGN iaitu badan tripartite (tiga pihak) yang berperanan membincangkan dan membawa syor itu kepada jemaah menteri,” katanya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.