Kerajaan Persekutuan Akan Terus Bekerjasama Dengan Kerajaan Negeri Sarawak
KUCHING - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan terus mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak biarpun berlakunya pertukaran kerajaan pada hari ini.
Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mansor Mat berkata beliau akan menjadi jambatan yang baik untuk meneruskan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Katanya, walaupun mempunyai perbezaan 'politik' antara kedua-dua kerajaan ini, namun dari segi kerjasama ia perlu diteruskan demi kesinambungan pembangunan Sarawak amnya.
“Saya bagi pihak Kerajaan Persekutuan di sini berperanan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak.
“Walaupun berlakunya perbezaan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, tetapi dari segi kerjasama tetap kita jalankan seperti biasa.
“Malah, kami dari semasa ke semasa akan merujuk kepada Putrajaya untuk membantu Kerajaan Negeri Sarawak dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah kami aturkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa menghadiri Majlis Ramah-Tamah Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sini, semalam.
Menjelas lanjut, Mansor berkata antara kerjasama yang akan diberi tumpuan adalah dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk Jabatan Pendidikan dan agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Kita perlu bekerjasama dalam semua aspek yang melibatkan rakyat Sarawak dengan kerajaan persekutuan, kerana peranan kerajaan persekutuan adalah membekalkan pembangunan yang patut dibawa ke Sarawak dan ia harus diteruskan seperti biasa,” katanya.
No comments