Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Lulus Peruntukan RM30 Juta Bina 'Laluan Warisan Melayu'


KUCHING - Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi membina ‘Laluan Warisan Melayu’ di bandar raya ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan laluan itu meliputi kawasan yang mempunyai warisan perkampungan masyarakat Melayu di Kuching dari Bulatan Padungan hingga ke Kampung Patingan, Satok.

Jelasnya, perangkaan pembinaan laluan itu telah dibuat dan kini sedang dalam proses penerangan bersama penduduk di kawasan terlibat dalam laluan tersebut. 

Menurutnya lagi, Laluan Warisan Melayu ini dibina dari Tebingan Kuching hingga Kampung Patingan menuju Satok, Muzium dan hingga ke Bulatan Padungan.

“Ini merupakan sebahagian daripada pendekatan industri pelancongan kita yang mana kita telah mengenal pasti pendekatan yang dikenali sebagai ‘Laluan Warisan Melayu’ iaitu kawasan di mana kita wartakan sebagai kawasan warisan.

“Malah, kita akan bekalkan dan bangunkan dengan kemudahan asas, di samping itu kita mempertahankan landskap kedudukan kampung Melayu sebagai satu kampung tradisi yang mempunyai budayanya sendiri dan Kampung Bintangor Kecil adalah sebahagian daripada ‘Laluan Warisan Melayu ini’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Perdana Bubur Lambuk dan Bubur Pedas anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil di sini semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok menggesa penduduk yang terlibat dalam laluan itu bersama-sama turut serta dalam aktiviti ekonomi pelancongan yang bakal wujud kelak.

“Dalam hal ini, saya rasa bahawa masyarakat setempat boleh mengambil bahagian daripada pembangunan yang sedang kita laksanakan,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu masyarakat setempat juga boleh menjadikan makanan tradisional Melayu sebagai tarikan pelancong untuk datang ke kawasan itu nanti.

Selain itu, Abang Johari berkata, pembinaan Terminal Tambang Murah di Kuching nanti akan turut menyumbang ke arah peningkatkan kemasukan pelancong ke negeri ini.

“Sebab itulah kemudahan asas di sini perlu diperingkatkan termasuklah tebingan sungai kita dan kemudahan lain dari sudut keselamatan kerana ini akan merancakkan lagi kegiatan yang ada hubung kait dengan industri pelancongan,” ujarnya.

Beliau mendedahkan pada tahun lalu, Sarawak berjaya mencatatkan 4.8 juta kemasukan pelancong ke negeri ini dan yakin jumlah tersebut akan meningkat pada tahun ini.


“Justeru, kekalkan perpaduan kita yang kukuh ini kerana ia juga menjadi tarikan pelancong untuk datang ke Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Datuk DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pada tahun lalu pihaknya bersama 340 peniaga melaksanakan kempen bebas rokok.


“Kita akan memastikan kesemua premis makanan dalam kawasan DBKU bebas asap rokok dan perkara ini kita kuat kuasa sepenuhnya pada tahun hadapan,” tegasnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Kejiranan Mesra Kampung Bintangor Kecil Ahmad Zainuddin Drahman dan tetamu kehormat lain.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.