Header Ads

Header ADS

Kembalinya Amalan Kroni Kapitalisme Dalam Kerajaan Pakatan Harapan?


Felow Penang Institut, Wong Chin Huat melahirkan kebimbangan terhadap cara penganugerahan projek pembangunan bernilai berbilion ringgit di Langkawi kepada pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing.

Beliau berkata kontrak itu yang diberikan secara tergesa-gesa menyerupai amalan kroni kapitalisme yang berlaku pada tahun 1980-an dan 1990-an.

"Ini adalah perkembangan paling menganggu sejak 10 Mei (Setelah Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum)," tambahnya dalam catatan di Facebook.

Walaupun beliau tidak menyebutkan nama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dituduh melakukan amalan kronisme dan nepotisme semasa memegang jawatan itu dari 1981 hingga 2003.

"Ini bukan keputusan populis atau keputusan untuk jangka masa pendek, tetapi kelajuan dalam meluluskan projek, ada banyak ciri dengan kroni kapitalisme pada tahun 1980-an dan 1990-an.

"Rakyat Malaysia perlu menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan," kata Wong.

Semalam, Ting yang tidak pernah menonjolkan diri dalam tempoh 16 tahun lepas memberitahu media bahawa Projek Bandaraya Baru Langkawi, yang dijangka bernilai kira-kira RM30 bilion akan dibangunkan di atas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat pulau berkenaan.

Ahli perniagaan dari Sarawak itu berkata projek itu akan melibatkan pembinaan 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial, kemudahan bagi kapal laut dan kapal layar serta kemudahan lain.

"Beberapa syarikat dalam kumpulan kami akan terlibat dalam pembangunan yang dijangka selesai dalam masa 10 tahun atau lebih awal lagi," katanya tanpa menamakan syarikat-syarikat tersebut.

Ting juga terlibat dalam pembinaan Empangan Bakun yang penuh kontroversi di Sarawak.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.